8 LANGKAH MENGELAK TERJATUH WARGA EMAS
Biarpun jatuh dianggap perkara biasa bagi sesiapa sahaja, namun bagi warga emas ia adalah sesuatu yang merbahaya. Ini kerana jatuh adalah antara punca yang menyebabkan ketidakupayaan dan kematian dalam kalangan warga emas. Malah lebih 1/3 warga emas yang tinggal di komuniti, terjatuh setiap tahun.
Statistik juga menunjukkan peningkatan kadar kejadian jatuh berkait rapat dengan peningkatan usia. Warga tua yang berumur 65 tahun ke atas akan mengalami jatuh pada kadar 28-35 peratus setiap tahun dan kadar ini akan meningkat kepada 32-42 peratus bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas.
Bagi penjaga ia sesuatu yang sangat membimbangkan. Ini kerana kos untuk merawat kecederaan akibat jatuh adalah amat tinggi apatah lagi sekiranya membabitkan kecederaan dan tulang patah seperti di lengan, pergelangan kaki, pinggul, dan juga tulang belakang. Juga boleh menyebabkan kecederaan kepala utama jika kesannya dirasai di bahagian kepala.
Kebanyakan jatuh sebenarnya berlaku pada permukaan rata. Di rumah penjagaan atau pusat jagaan harian warga tua, biasanya berlaku dalam perjalanan ke bilik mandi. Walaupun permukaan rata tidak kelihatan seperti bahaya namun adalah penting untuk memerhatikan keadaan ini.
Komplikasi akibat jatuh juga adalah punca utama kematian pada warga tua yang berumur lebih dari 75 tahun.
Dengan peningkatan warga emas setiap tahun masalah jatuh ini juga akan terus meningkat. Terutama warga emas yang tinggal bersendirian di rumah tanpa pengawasan penjaga.
Mengapa boleh terjatuh dan bagaimana mengurangkan risiko jatuh untuk warga emas? Langkah-langkah di bawah mungkin dapat membantu:
MENGAPA JATUH?
Terdapat beberapa sebab jatuh dalam kalangan warga emas antaranya:
Warga emas yang mempunyai keadaan mata seperti katarak dan glaukoma mungkin mengalami kesukaran menavigasi tanah yang tidak sekata dan mengesan bahaya yang berpotensi. Ini menyebabkan mereka mudah terjatuh.
Warga emas yang ada masalah kaki atau mengalami kencing manis biasanya akan menjejaskan kaki mereka. Kasut yang tidak betul juga boleh menyumbang kepada sakit kaki dan risiko jatuh juga.
Persekitaran tempat tinggal boleh menjadi punca terjatuh. Ini boleh disebabkan bilik-bilik yang kurang terang, lantai basah, tangga yang pecah atau halangan perabot dan peralatan rumah yang banyak.
Kurang bersenam boleh menyebabkan otot menjadi lemah dan mengurangkan keseimbangan dalam kalangan orang tua. Itulah sebabnya senaman yang kerap adalah sangat penting bagi warga emas membina kekuatan otot dan keseimbangan. Semakin lama anda tidak aktif, semakin besar kemungkinan otot anda menjadi lemah dan sendi menjadi sakit.
Ubat untuk kemurungan, tekanan darah tinggi, dan masalah tidur juga boleh menyebabkan jatuh kerana kesan sampingannya. Beberapa kesan sampingan yang biasa ialah menyebabkan mengantuk, pening, dan kehilangan keseimbangan. Ubat-ubatan tertentu untuk diabetes dan jantung juga boleh menyebabkan tidak stabil pada kaki. Ini menyebabkan anda kehilangan keseimbangan dan akhirnya jatuh.
Ibu ayah anda harus mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi. Jika tidak badan menjadi lemah dan letih. Pastikan juga mereka tidak banyak bergerak atau berjalan sekiranya kurang sihat. Ini mengelak risiko pening dan menyebabkan pitam.
Ajar orang tua anda perkara ini. Jangan terus bangun daripada sesuatu tempat. Ambil masa dan bangun perlahan-lahan terutama semasa bangun tidur di atas katil atau bangun dari duduk. Tidak perlu tergopoh-gopoh, pastikan badan stabil semasa bangun supaya tidak jatuh.
Bersihkan ruang yang menjadi tempat laluan biasa dalam rumah. Susun perabot supaya laluan menjadi selesa dan tidak berbahaya. Kemaskan halangan seperti wayar, alat kawalan televisyen di tempat sepatutnya supaya tidak terlanggar. Memastikan tangga bebas daripada objek yang berselerak. Jika menggunakan permaidani, pastikan ia kemas. Memastikan semua perabut teratur dan pakaian tidak diletak di permukaan lantai. Kekemasan dalam rumah adalah kunci utama keselamatan penghuninya.
Pemakaian kasut yang sesuai amat penting untuk keselesaan. Elakkan memakai kasut yang tapaknya licin supaya tidak mudah jatuh semasa berjalan. Selain itu, elakkan memakai kasut yang terlalu longgar kerana ini akan menyebabkan jatuh atau tersilap langkah. Pakai selipar sesuai ketika masuk ke tandas. Perhatikan langkah anda pastikan pintu bilik air tidak berkunci. Jika boleh biarkan penjaga menunggu di luar ketika ibu bapa berada di dalam tandas.
Pegang pemegang semasa menaiki tangga untuk menambah keseimbangan semasa berjalan. Selain itu, palang pemegang tangan di bilik mandi, sekitar dapur dan ruang tamu untuk keselamatan. Menggunakan palang pemegang semasa menaiki tangga adalah langkah yang digalakkan. Selain itu, memasang palang pemegang di dalam tandas. Jangan gunakan penyangkut tuala untuk sokongan apabila berdiri kerana ia tidak cukup kuat untuk menampung berat badan.
Pastikan laluan yang terang di dalam rumah bagi mengelakkan terjatuh apabila berjalan. Memastikan lampu lorong dan bilik dinyalakan dan terang bagi mengelakkan terjatuh apabila berjalan. Terutama pada waktu malam, pastikan ada lampu dibuka berhampiran bilik air.
Pastikan lantai dapur bersih dan tidak berminyak biarpun ibu bapa anda mungkin jarang ke dapur namun dapur adalah ruang yang sering membuatkan warga emas atau sesiapa sahaja tercedera. Selain itu, memastikan peralatan dapur yang selalu digunakan disimpan di rak rendah bagi mengelak ibu bapa mencapainya dalam keadaan tidak seimbang.
Sekiranya ibu bapa anda tidak mampu berjalan dengan stabil sediakan tongkat atau palang pemegang boleh ubah yang dapat membantu dia berjalan dengan selesa. Peralatan ini mungkin sesuai untuk ibu bapa bergerak ke tandas atau ke luar rumah.