Tips Memahami Dalam Penjagaan Warga Emas
December 31, 2021Tips Menjaga Orang Tua Yang Pelupa
February 18, 2022Kenapa adab dengan orang tua ni adalah perkara yang penting dalam Islam terutamanya Ibu kita? Banyak kisah Para Rasul & Nabi yang boleh kita jadikan teladan.
Dalam satu kisah apabila sahabat Rasulullah SAW bertanya kepada Baginda siapakah yang patut ditaati di dunia, Rasul menjawab, “Ibumu.” Kemudian dia bertanya lagi, ” siapa?” Rasul menjawab, “Ibumu.” “Kemudian lagi, ya Rasul,” tanya orang itu. “Rasul menjawab, “Ibumu.” Lalu, laki-laki itu bertanya lagi; “Kemudian, selepas ibu siapa, ya Rasul?” “ayahmu,” jawab Rasulullah.
Menerusi hadis ini jelas menunjukkan ibu bapa adalah dua sosok yang sememangnya perlu ditaati.
Kewajipan menghormati orang tua dan menjaga adab ini amatlah dituntut dalam Islam. Ini dibuktikan dalam sebuah hadis Riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim yang menyatakan:
“Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah”
Mengapa pentingnya menjaga adab dan menghormati mereka? Ini kerana ibu bapa atau orang tua adalah sumber keberkatan dalam hidup anak-anak. Ada orang pernah berkata untuk mendapatkan keberkatan jagalah hubungan dengan ibu bapa. Oleh itu setiap anak perlu menunjukkan rasa hormat dan patuh kepada orang tua mereka.
Ini termasuk warga emas sama ada anda mengenali mereka atau pun tidak. Hormatilah sebaik-baiknya dan tunjukkan adab yang baik ketika bertemu mereka. Antara adab terhadap orang tua yang perlu diamalkan ialah:
-
Beri salam dan bersalaman
Sekiranya bertemu orang tua beri salam dan hulurkan tangan. Sentiasa murah dengan senyuman ketika berjabat tangan. Ini adalah permulaan terbaik untuk mengajar anak mengenai adab dan mencium tangan ketika bersalaman.
-
Guna panggilan yang sesuai
Guna panggilan sesuai ketika bertemu mereka. Pakcik, makcik, atau menggunakan pangkat seperti pak long dan mak long. Ada juga suka dipanggil atok atau nenek. Jika masih bekerja gunakan tuan atau encik. Namun sekiranya mereka mahu anda memanggil mereka dengan nama pertama mereka, sila hormati permintaan mereka.
-
Bercakap dengan sopan
Bercakap dengan sopan dan penuh kelembutan. Gunakan bahasa yang mudah difahami. Elakkan menggunakan slang. Bersedia untuk bercakap lebih kuat sekiranya orang tua mempunyai masalah pendengaran.
-
Mendengar nasihat dan tidak melawan
Sebagai anak, kita hendaklah patuh dan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa selagi ia tidak melanggar syarak. Janganlah kita berbalah dengan mereka kerana perbuatan ini boleh mengguris hati. Walapun kadangkala ada masa mereka salah, namun apa yang perlu dilakukan adalah dengar dahulu dan diam.
-
Menjaga kebajikan
Selain mentaati orang tua, kita juga perlu menjaga kebajikan mereka. Kebajikan bukan membabitkan aspek kewangan tetapi tenaga dan perhatian. Luangkanlah masa bersama selagi mereka masih ada. Jangan kita menyesal di kemudian hari apabila mereka sudah tiada barulah kita mahu meluangkan masa dengan mereka.
-
Memelihara nama baik dan kehormatan orang tua
Kita perlu menjaga nama baik, kehormatan dan harta benda orang tua. Jangan bercakap perkara yang tidak baik mengenai mereka. Begitu juga dengan harta benda mereka gunakan dengan baik untuk kebaikan. Elakkan membazir dan menggunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya.
-
Segera menyahut apabila dipanggil
Salah satu adab dengan orang tua ialah segera menyahut apabila dipanggil. Walaupun ia nampak remeh tetapi inilah yang sepatutnya diajar anak-anak sejak kecil. Membiarkan ibu bapa tertunggu-tunggu juga adalah salah satu sikap yang tidak baik, malah berdosa sekiranya dilakukan juga tanpa alasan munasabah.
-
Langsaikan hutang
Sekiranya ibu bapa meninggal dunia dan meninggalkan hutang, segeralah melangsaikan hutang piutang mereka. Hal ini kerana hutang wajib dibayar melainkan sudah dihalalkan oleh pemberi hutang. Anda boleh bertanya kepada kawan-kawan arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan mereka. Boleh juga menggunakan media sosial untuk memberitahu perkara ini memandangkan semua orang sangat aktif di platform ini.
-
Menunaikan Upah Haji
Bagi ibu-bapa yang tak sempat menunaikan ibadat haji, anak-anak digalakkan melakukan upah haji atau badal haji kepada arwah orang tua mereka. Anda boleh dapatkan perkhidmatan ini daripada Tabung Haji atau juga syarikat-syarikat yang berdaftar.
-
Mendoakan ibu bapa yang sudah meninggal dunia
Anak-anak yang soleh akan sentiasa mendoakan ibu bapa yang sdah tiada. Doa anak-anak yang soleh tidak akan putus walaupun selepas ibu bapa meninggal dunia. Selain itu, jaga hubungan baik sesama sahabat mereka. Bukan sahaja dapat mengekalkan kemesraan jalinan itu malah kita juga boleh menambah kenalan.