Pembedahan Di Lewat Usia? Ini 10 Cara Penjagaannya
September 1, 2023Penghidap Penyakit Kronik Jangan Culas Makan Ubat
November 26, 2024Apakah sebenarnya Pneumonia? Apa bahaya Pneumonia dan cara mencegahnya? Harap anda membaca artikel kami kali ni.
AWAS JIKA BATUK TANPA HENTI, MUNGKIN PNEUMONIA
“Ibu saya sudah sebulan batuk tanpa henti. Apa yang membimbangkan apabila batuk dia mengadu cepat penat dan adakala mengalami sesak nafas. Selera makan ibu juga semakin berkurang ini menyebabkan berat badan turun mendadak. Saya sudah membawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor hanya memberikan ubat batuk dan ubat cair kahak sahaja.
“Bimbang akan kesihatan ibu semakin teruk memandangkan dia sudah berusia 70 tahun saya terus membawa ibu menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar. Daripada pemeriksaan paru-paru, keputusan ujian darah dan x-ray dada, menunjukkan ibu sedang mengalami masalah pneumonia, iaitu jangkitan kuman di paru-paru.
“Agar jangkitan tidak bertambah teruk ibu diminta menjalani rawatan segera iaitu dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu untuk mematikan kuman. Saya hanya mengangguk faham dan bersetuju dengan cadangan doktor asalkan ibu kembali sihat.
Doktor juga memberitahu sepatutnya ibu sudah dibawa awal agar rawatan dapat diberikan segera. Saya agak menyesal namun berharap batuk ibu akan berkurang.”
Apakah Pneumonia
Pneumonia boleh menyerang semua orang tanpa mengira usia, tetapi jangkitan kuman ini kerap berlaku dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan pesakit kencing manis dan AIDS kerana sistem imunisasi mereka lebih rendah berbanding orang biasa.
Pneumonia adalah jangkitan di dalam paru-paru yang menyebabkan tisu paru-paru membengkak. Mereka yang mengalami ‘jangkitan dada’ atau jangkitan saluran pernafasan bawah (‘LRTI’) juga berpotensi menghidap pneumonia.
Pneumonia boleh menjadi serius dan menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa seperti sepsis ataupun terdapatnya nanah di dalam paru-paru. Pneumonia berpunca daripada virus, bakteria dan adakalanya kulat. Tindak balas sistem imun tubuh terhadap jangkitan oleh mengakibatkan keradangan tisu alveoli – kantung kecil di dalam paru-paru di mana gas-gas ditukar.
Bagaimana paru-paru berfungsi?
Secara ringkasnya setiap kali bernafas kita akan menghirup mikrob, bakteria, virus dan spora kulat. Namun begitu, paru-paru dicipta dengan beberapa lapisan perlindungan yang akan memastikan mikrob ini tidak mendatangkan masalah yang serius.
Sebahagian akan tersekat pada cecair dan lendir yang terdapat di dalam hidung serta mulut.
Mikrob ini ditapis oleh bulu-bulu halus di dalam lubang hidung. Sel mikroskopik di dalam saluran sistem pernafasan ini kemudiannya akan menolak partikel-partikel ini keluar daripada sistem.
Paru-paru kita juga dilitupi dengan lendir yang bertindak sebagai lapisan perlindungan dan sistem imun berfungsi menyediakan sel yang mampu mengenalpasti dan memusnahkan sebarang mikrob yang memasukinya.
Walaubagaimanapun, adakalanya sistem pertahanan semula jadi ini tidak cukup untuk melindungi badan sepenuhnya. Sesetengah mikrob berkemampuan merentasi lapisan perlindungan ini. Selain itu, beberapa masalah kesihatan juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan.
Apabila terdapat mikrob yang banyak menyerang tisu paru-paru, partikel-partikel ini akan mula menjejaskan fungsi paru-paru. Hal ini akan menyebabkan terjadinya bengkak dan keradangan yang akan mengehadkan kadar tisu yang boleh digunakan untuk penukaran gas.
Siapa berisiko mendapat Pneumonia
- Ada masalah kesihatan
Jika pesakit ada masalah kesihatan sedia ada seperti pulmonari obstruktif kronik (COPD), asma atau kegagalan jantung ia boleh meningkatkan peluang mendapat pneumonia.
- Sistem imun badan sangat lemah
Sesetengah ubat-ubatan, khususnya ubat-ubatan yang diberikan bagi merawat kanser atau penyakit autoimun boleh mengganggu sistem imun dan menyukarkan proses melawan jangkitan. Sebahagian kondisi seperti AIDS boleh menjejaskan imun sistem secara langsung.Faktor usia juga turut mempengaruhi sistem imun badan.
- Umur
Kanak-kanak dan populasi warga emas lebih cenderung mendapat pneumonia dan komplikasi berkaitan.
- Merokok
Jika pesakit adalah perokok tegar kemungkinan untuk mendapat pneumonia dan masalah paru-paru sangat tinggi. Asap terpakai boleh memudaratkan terutama kanak-kanak yang tinggal di dalam rumah yang terdapat perokok di dalamny. Selain itu mereka juga cenderung mendapat penyakit radang paru-paru ini.
- Disfagia
Dysphagia merujuk kepada kesukaran untuk menelan. Mereka yang menghidap disfagia selalunya mempunyai refleks batuk dan muntah yang rendah. Ini bermaksud makanan, minuman dan segala jenis mikrob boleh memasuki saluran pernafasan dan tinggal di dalam paru-paru. Golongan yang menghidap disfagia termasuklah pesakit Parkinson atau demensia lanjutan serta mereka yang pernah terkena serangan strok.
- Kecederaan saraf tunjang
Selain berpotensi untuk mengalami kesukaran menelan, mereka yang mempunyai kecederaan saraf tunjang juga mungkin bergantung kepada pengudaraan mekanikal dan mempunyai penjagaan trakeostomi (tiub pernafasan melalui bahagian hadapan tekak ke dalam tenggorokan) yang kompleks. Mereka juga mungkin tidak mampu batuk tanpa bantuan mekanikal dan seterusnya menghadapi kesukaran membersihkan paru-paru mereka.
Cara Mencegah Bahaya Pneumonia
Pneumonia bukan selalu boleh dicegah. Namun, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan anda daripada jatuh sakit dan memastikan anda dapat pulih sepenuhnya secepat mungkin.
Berhenti merokok
Merokok boleh mengakibatkan penyakit paru-paru yang serius serta merosakkan sistem imun badan. Oleh itu anda perlu berhenti merokok untuk menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling.
Jaga kebersihan
Membasuh tangan, menggunakan tisu dan membuangnya sejurus selepas digunakan serta mengelakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang sakit membantu mengurangkan risiko mendapatkan pneumonia. Sekiranya semua orang mematuhi standard kebersihan yang asas, risiko untuk batuk dan demam untuk berjangkit boleh dikurangkan dengan baik sekali.
Kekal sihat
Kita bukan sentiasa boleh mengelak daripada terkena batuk atau jangkitan dada, tetapi jika kita mengamalkan gaya hidup sihat dan cuba untuk mengekalkan garis asas kesihatan yang disarankan, kita tidak akan begitu cenderung untuk mendapatkan sesuatu penyakit.
Dapatkan rawatan
Sekiranya anda mempunyai faktor risiko pneumonia segera bertemu doktor. Terutama bagi pesakit asma dan kegagalan jantung.
Ambik vaksin
Mereka yang lebih berisiko mendapatkan pneumonia disarankan mengambil vaksin bermusim. Ini termasuklah vaksin selesema dan vaksin pneumokokal yang boleh melindungi daripada sebarang bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia.
Bagi anak-anak yang menjaga ibu bapa jangan ambil mudah jika ibu bapa anda mengalami batuk yang berpanjangan. Apatah lagi jika dia mempunyai tekanan darah tinggi, sakit jantung atau diabetes. Segera dapatkan pemeriksaan dengan pakar.
Ini kerana pengambilan ubat batuk atau cairkan kahak juga tidak dapat mengurangkan batuk sekiranya ia berpunca daripada jangkitan kuman.