Ada orang direzekikan tinggal bersama ibu ayah, ada orang diberikan peluang menjaga ibu ayah yang sedang sakit. Tidak kira sakit disebabkan penyakit kronik seperti diabetes, strok, kanser juga demensia atau sakit tua kesemuanya memerlukan penjagaan yang sangat rapi.
Ingatlah betapa besarnya ganjaran diberikan sekiranya anak dapat menyantuni ibu bapa dengan sebaiknya. Bagi yang berkemampuan mungkin boleh mengambil jururawat atau penjaga untuk memberikan penjagaan sepenuhnya tatkala anak keluar bekerja.
Ada juga anak-anak yang meletakkan ibu ayah di pusat jagaan warga emas bagi memberikan penjagaan terbaik kepada ibu ayah dan ini adalah cara terbaik bagi memastikan kesihatan mental dan fizikal terjaga.
Bagi anak-anak yang menjaga sendiri sama ada mereka bekerja atau tidak, anak-anak masih bertanggungjawab menyantuni ibu ayah yang sedang sakit. Jangan dibiarkan mereka tanpa sentuhan dan belaian sepenuhnya.
Sebenarnya masih ramai tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Adakah hanya duduk di tepi sambil melihat sahaja wajah ibu ayah yang sedang sakit?
Apabila ditanya, “mak nak makan? Dan si ibu menggeleng kepala tanda tidak mahu, anak tadi langsung tiada inisiatif mengambil makanan dan menyuap ke mulut ibu. Adakah ibu ayah benar-benar tidak mahu makan atau kita yang tidak tahu bagaimana menyantuni mereka?
Sebenarnya menjaga orang sakit juga memerlukan seni dan pengetahuan. Seni bermaksud si anak tahu bagaimana meminta ibu untuk makan. Memang benar ketika sakit selera makan tiada tetapi sebenarnya mereka yang terlantar memerlukan makanan dan minuman untuk tenaga.
Jika tidak makan bagaimana mahu sihat. Bagaimana mahu makan ubat yang diberikan.Di sinilah pentingnya pengetahuan bagaimana meminta ibu ayah untuk makan.
Seharian terlantar di katil pasti badan sudah lesu. Bagi yang berpenyakit kronik sudah pasti mandi di tandas adalah sesuatu yang sukar dilakukan. Jadi cuci muka dan lap badan ibu dengan tuala agar dia berasa segar. Sikat rambut tukarkan baju, tukarkan cadar dan sarung bantal agar ibu ayah dapat merasakan suasana baru. Mungkin selepas melakukan semua ini selera makan akan terbuka.
Misalnya air sirap, agar-agar, puding atau manisan seperti bubur manis kemudian suapkan dulu ke mulut ibu ayah. Biar mereka berasa sejuk dan manis. Deria rasa ini akan membuatkan mulut tidak lagi payau dan bersedia untuk menjamah makanan seterusnya seperti bubur nasi atau makanan berkuah seperti sup ayam.
Bayangkan ketika kita sakit ibu sedaya upaya menyediakan makanan untuk dimakan. Begitulah juga yang perlu kita lakukan agar selera makannya terbuka. Suapkan mereka makan jangan benarkan mereka makan sendiri alamat tidak terjamahlah jawabnya. Suap sedikit sedikit tetapi kerap. Tanya ibu ayah apa makanan yang mereka teringin makan.
Menjaga ibu ayah yang sedang sakit juga perlukan kesungguhan dan kerajinan. Jangan ambil mudah dan jangan malas. Jangan hanya menunggu mereka meminta makanan, jangan menunggu ibu ayah meminta untuk mandi atau digantikan lampin pakai buang, jangan menunggu sebaliknya terus buat. Terus urut badan, basahkan bibir mereka dengan air, mandikan mereka, suapkan mereka minuman dan makanan. Jangan tunggu sehingga mereka meminta kerana sifat orang tua mereka tidak akan meminta. Kita yang harus tahu dan prihatin keperluan mereka. Jangan sehingga badan mereka berbau, najis sudah kering, bibir pecah-pecah disebabkan dihidrasi. Jangan sesekali.
Paling penting jangan biarkan ibu ayah sendiri. Kecuali sekiranya mereka tidur. Pastikan kehendak mereka kita penuhi. Jika tidak mahu berbual cukup dengan mengurut kaki dan tangan.