Makanan Untuk Orang Demensia
March 31, 2022Tips Penjaga Orang Tua
March 31, 2022JANGAN TAKUT ‘NYANYUK’- KENALI TANDA AWAL DEMENSIA
Nyanyuk atau demensia sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berusia 60 tahun ke atas atau pada usia emas. Tetapi jangan terkejut sekiranya ada yang sudah menunjukkan tanda-tanda awal demensia ketika usia mencecah 40-an ke atas.
Demensia berlaku apabila individu mengalami penurunan fungsi otak termasuk fungsi kognitif membabitkan kemampuan daya ingatan, berbahasa, komunikasi, tumpuan, perilaku, hubungan sosial dan fizikal. Antara gejala awal demensia ialah:
- Gangguan daya ingatan
Demensia pada peringkat awal ditunjukkan dengan gejala, sering lupa pada perkara yang baru berlaku atau memori jangka pendek seperti lupa di mana letaknya barang, terlupa tempat parkir dan terlupa mengenai janji yang sudah dibuat. Mereka juga sukar menerima tugasan baru.
Selain itu, mereka juga cenderung mengulang-ulang cerita yang sama dalam suatu percakapan dan mereka sendiri tidak menyedarinya.
- Sukar berfikir
Biasanya apabila berlaku sesuatu perkara, mereka tidak dapat berfikir dengan baik. Ini berlaku disebabkan kemerosotan otak bahagian frontal lobe yang terletak belakang mata, untuk mengawal fokus, berfikir dan merancang. Disebabkan kemampuan berfikir semakin merosot ia menyebabkan kehidupan menjadi sukar kerana mereka mudah tertekan kerana perlu berfikir.
- Sukar bercakap dengan jelas dan lancar
Antara tanda awal dementia, pesakit sukar untuk memilih perkataan yang sesuai. Ini menyebabkan mereka kurang lancar bercakap dan tergagap atau mengulang perkataan sama kerana pesakit asyik berfikir untuk menyambungkan ayat.
- Masalah mengenali wajah atau gambar
Salah satu masalah demensia ialah sukar mengingati wajah, nama dan gambar. Mereka juga sukar mengingati tempat dan masa. Ini kerana memori otak tidak dapat menyimpan maklumat ini dengan sempurna sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mengingati wajah orang yang pernah mereka temui.
- Perubahan personaliti
Tanda awal demensia apabila berlaku perubahan personaliti seperti daripada seorang pemalu kepada peramah. Penyabar kepada pemarah dan mudah terasa. Perubahan ini disebabkan otak kekurangan sel-sel neuron yang menjadi sebahagian kepada fungsi untuk berfikir. Perubahan sikap pula bergantung kepada bahagian otak yang merosot. Apabila ini berlaku ia menyebabkan personaliti mereka berubah.
- Tekanan perasaan
Perasaan dan emosi juga dikawal dari otak. Otak yang sihat akan sentiasa membuat pemiliknya positif dan bersemangat. Sebaliknya pada mereka yang mempunyai masalah otak seperti nyanyuk akan mengalami tekanan perasan, sukar mengawal emosi dan mudah tertekan. Ia akan memberi kesan pada hubungan sosial dan kekeluargaan. Terutama sekiranya ahli keluarga tidak faham apa yang berlaku.
- Pergerakan semakin merosot
Mereka yang mengalami demensia akan melakukan pergerakan seperti mana penyakit Parkinson dan Lewy Body. Ini menyebabkan pergerakan yang selalunya mudah menjadi semakin sukar. Biasanya orang terdekat yang akan perasan perubahan pada diri pesakit. Jika ada ahli keluarga mempunyai tanda-tanda ini segera buat rawatan awal.
- Terlupa meletak barang
Gejala awal yang sering berlaku adalah terlupa di mana mereka meletakkan sesuatu barang. Akhirnya ada yang mula menuduh orang lain mencuri atau menyembunyikan barang tersebut padahal mereka meletakkan barang di tempat yang salah.
- Salah membuat keputusan
Ciri yang biasa berlaku ialah sukar membuat keputusan misalnya memakai sarung kaki warna berbeza atau memberikan bayaran berlebihan ketika membeli barang.
- Tidak suka bergaul
Hilang semangat untuk melakukan aktiviti atau hobi yang biasa dilakukan seperti berbual, berjalan di taman atau minum petang bersama kawan. Jika dulu mereka suka berjumpa orang lain tetapi kini pesakit demensia suka menyendiri. Jika boleh mereka tidak mahu bertemu orang lain.
Jika ada ahli keluarga atau sahabat memiliki tanda-tanda seperti di atas segera bawa berjumpa doktor supaya masalah ingatan tidak menjadi lebih teruk. Sekurang-kurangnya pengesanan awal dapat memberikan pesakit lebih berkeyakinan melalui kehidupan bersama yang tersayang. Jangan takut dengan label nyanyuk kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia.