“Ibu boleh menjaga 10 orang anak, seorang anak takkan tak boleh menjaga seorang ibu?”
“Kenapa nak hantar ibu ayah ke rumah orang tua tak takut dosa ke?”
“Jangan sampai jadi anak derhaka, hantar ibu ayah ke rumah orang tua”.
Inilah kata-kata yang sering dilemparkan apabila ada anak-anak yang berhasrat menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua atau pusat jagaan orang tua. Sebenarnya untuk mengatakan hukum berdosa atau tidak, anak jadi derhaka atau sebaliknya adalah bergantung kepada niat dan situasi.
Apakah sebab anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua dan bagaimana layanan anak-anak terhadap ibu bapa selepas itu? Sebenarnya, kita tidak tahu apakah punca-punca anak itu menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan atau penjagaan orang tua, mereka pasti mempunyai alasan tersendiri yang tidak diketahui.
Pada masa sekarang disebabkan pelbagai faktor, terutama ekonomi menyebabkan kebanyakan isteri terpaksa bekerja bagi membantu suami. Membiarkan ibu bapa yang sudah tua dan uzur bersendirian di rumah juga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Banyak sekali berita di akhbar mengenai ibu bapa meninggal bersendirian di rumah.
Jadi apakah jalan terbaik? Membiarkan mereka berseorangan di rumah atau diberikan penjagaan terbaik di rumah orang tua?
Sekiranya di rumah orang tua, ibu bapa lebih terjaga dari segi kesihatan, makanan, emosi dan sosialnya mengapa tidak anak-anak menyerahkan ibu bapa ke rumah orang tua? Anak-anak pula boleh datang melawat setiap minggu atau membawa pulang ke rumah apabila dirasakan perlu.
Apa yang menjadi masalah apabila anak-anak berniat untuk melepas tangan atau langsung tidak mahu bertanggungjawab kepada orang tua mereka. Meninggalkan mereka di rumah kebajikan dan langsung tidak mengambil tahu.
Ya ini dua keadaan berbeza.
Jom baca perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai Hukum Menempatkan Ibu Bapa di Rumah Orang Tua.
Secara umumnya, kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa sememangnya adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’: 23)
Imam al-Baidhawi berkata: “Maksud di sisimu (عِندَكَ) ialah hendaklah kedua-dua ibu bapa dalam pemeliharaan kamu.”
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, iaitu isu menempatkan ibu atau bapa di Rumah Orang Tua, ia adalah HARUS dan DIBOLEHKAN jika sekiranya ibu bapa menyukainya. Ya harus dapat persetujuan ibu bapa terlebih dulu.
Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap ibu bapa. Antaranya dhawabitnya ialah:
Begitu juga sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)
Jelas daripada hadis ini betapa kita perlu merebut peluang dengan berbakti dan melakukan kebaikan jika masih memiliki ibubapa yang sudah lanjut usia. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita. Sebaliknya menderhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan.
Antara bentuk mencari keredaan ibu bapa adalah dengan mentaatinya, melayaninya, menyukainya, merahmatinya, memberi hadiah, memberi nafkah jika perlu dan juga melakukan apa-apa yang menjadi idaman dan keinginannya. Inilah yang dilakukan oleh orang-orang soleh dalam mentaati kedua ibu bapa.
Selepas membaca kenyataan Mufti di atas, adakah masih ramai daripada kita yang akan terus menjatuhkan hukum kepada anak-anak yang menghantar ibu ayah mereka ke rumah orang tua? Adakah akan terus mengatakan berdosa atau anak derhaka?
Ya mana tahu niat anda untuk memberikan yang terbaik kepada ibu bapa akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah. Sebagaimana banyak cerita yang ditulis oleh para ulama mengenai kehebatan ganjaran di dunia dan akhirat apabila berbakti kepada orang tua.
Ambil iktibar daripada kisah Si Tanggang dan usah menjadi Si Tanggang moden yang derhaka kepada ibunya. Hayati pula cerita Alqamah yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah disebabkan dosa dengan ibunya. Dua cerita ini pasti amat menginsafkan kita.