5 Penyakit Masuk Angin Yang Bahaya
June 27, 2023Persediaan Sekiranya Pasangan Meninggal Dunia
July 26, 2023Suatu hari saya melihat ibu asyik tergaru-garu di belakang atas badan. Saya melihat ada kesan merah pada bahagian garuan itu. Saya bertanya sama ada sakit atau tidak.
Ibu mengangguk sambil memberitahu, “ada rasa pedih”.
Saya hanya menjangkakan ia akibat kesan garuan kuku yang menyebabkan sedikit tercalar. Namun keesokan harinya dia mengadu sakit semakin kuat dan seperti ada biji merah dan ada air di dalamnya, seperti chickenpox.
Menjelang petang biji merah itu naik semakin banyak dan sangat jelas manakala ibu sudah menunjukkan ketidakselesaannya. Dia mengadu sakit. Saya terus membawa ibu ke klinik untuk mengetahui adakah ia benar chickenpox atau penyakit lain.
Selepas pemerhatian, doktor menjelaskan ia adalah kayap iaitu sejenis penyakit yang biasa dihidapi warga emas. Namun memerlukan rawatan lanjut dan ubat-ubatan agar ia tidak merebak dan menjadi lebih teruk.
Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, kayap dikaitkan dengan perkara yang lebih serius. Pernah tak anda mendengar, “hati-hati jika kayap ular ia boleh membawa maut.”
Ia dikatakan sebagai kayap ular apabila bintik atau tanda melepuh mula mengelilingi sesuatu kawasan misalnya di pinggang ia boleh membawa maut. Dalam istilah moden kayap adalah sejenis penyakit akibat daripada jangkitan virus varicella zoster.
Virus ini juga menjadi penyebab yang sama bagi penyakit cacar air atau chickenpox. Sebab itu dalam sesetengah kes kayap ada menunjukkan mereka yang tidak pernah mendapat chickenpox akan dijangkiti kayap apabila sudah berusia.
Namun kenyataan ini masih tidak dapat dibuktikan sepenuhnya kerana ada juga yang pernah mendapat kedua-duanya.
Bagaimana anda dapat mengetahui ia adalah kayap atau chickenpox. Antara simptom-simptom kayap ialah:
- Rasa sakit, terbakar, kebas atau kesemutan pada bahagian badan yang terjejas. Rasa tidak selesa ini membuatkan anda sukar tidur dan rasa panas.
- Lebih berasa sensitif ketika disentuh. Rasa pedih dan sakit berdenyut.
- Timbul ruam merah pada bahagian tubuh beberapa hari setelah mengalami kesakitan. Ruam ini lama kelamaan akan mengelembung seperti melepuh.
- Berlakunya kelepuhan yang terbuka dan mengandungi cecair.
- Mengalami kegatalan. Elakkan menggaru bahagian tersebut. Sapu ubat yang diberi doktor untuk mengelak kegatalan.
- Ada sesetengah individu turut mengalami demam, sakit kepala, lebih sensitif terhadap cahaya dan keletihan melampau.
Punca Kayap
Seperti yang diketahui kayap ini berpunca daripada serangan virus varicella zoster. Jadi adalah benar mereka yang pernah mendapat chickenpox atau cacar air mungkin akan mendapat kayap.
Ini kerana walaupun pesakit sudah sembuh daripada chickenpox, namun virus yang sama akan memasuki sistem saraf dan kekal di dalamnya. N amunvirus tidak aktif selama bertahun-tahun.
Secara perlahan-lahan seiring peningkatan usia, virus ini akan kembali aktif lalu memasuki laluan saraf ke bahagian kulit sehingga lama-kelamaan menyebabkan kayap. Bagi individu yang memiliki sistem imun yang lemah sewaktu usia tua ini menyebabkan mereka mudah mendapat kayap.
Oleh sebab itu, tidak hairan mengapa kayap lebih kerap dan biasa berlaku dalam kalangan warga emas berbanding usia muda.
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor risiko lain yang menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat kayap iaitu:
-
Berusia lebih daripada 50 tahun.
Tidak dinafikan, penyakit ni sebenarnya lebih kerap berlaku dalam kalangan warga emas yang berusia 50 tahun dan ke atas. Semakin meningkat usia seseorang, maka semakin tinggilah risikonya untuk mendapat kayap
-
Mempunyai sesetengah penyakit.
Terdapat beberapa penyakit yang boleh melemahkan sistem imun badan seperti HIV/AIDS dan juga kanser.
-
Ubat tertentu
Sesetengah ubat-ubatan juga boleh menyebabkan kayap. Ini termasuk siri rawatan kanser seperti radiasi dan juga kemoterapi boleh merendahkan rintangan penyakit dan pertumbuhan kayap
Apakah komplikasi yang boleh berlaku akibat daripada kayap?
-
Neuralgia postherpetic
Bagi sesetengah individu, mereka mungkin akan terus mengalami kesakitan walaupun kelepuhan kayap suda hilang. Keadaan ini disebut sebagai neuralgia postherpetic. Ia berlaku apabila serat saraf yang rosak menghantar mesej mengelirukan berkenaan kesakitan kulit kepada otak.
-
Kehilangan penglihatan
Kayap yang berlaku pada atau sekitar bahagian mata boleh menyebabkan jangkitan mata yang amat menyakitkan sehingga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.
-
Masalah neurologi
Kayap juga boleh menyebabkan keradangan pada otak, paralisis muka atau masalah pendengaran bergantung kepada saraf yang terjejas akibat kayap tersebut
-
Jangkitan kulit
Sekiranya kelepuhan kayap tersebut tidak dirawat dengan baik, ia mungkin boleh menyebabkan jangkitan kulit yang disebabkan oleh bakteria
Oleh kerana ia boleh menyebabkan kesan serius individu dinasihatkan berjumpa doktor dan mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit ini.
Walaupun penyakit ini tidak membahayakan nyawa penghidapnya, namun kewujudannya amatlah menyakitkan.
Rawatan awal boleh membantu memendekkan tempoh jangkitan kayap dan mengurangkan risiko berlakunya komplikasi kesihatan yang lain.
Sebagai langkah yang baik, adalah penting untuk mengamalkan tabiat gaya hidup yang sihat seperti mendapatkan rehat yang mencukupi, menguruskan tekanan, dan makan diet yang sihat.