
Warga Emas Yang Ditinggalkan Di Hospital
October 1, 2025Fenomena menyedihkan warga emas ditinggalkan di hospital selepas rawatan semakin mendapat perhatian. Selepas selesai dirawat, ada antara mereka tidak dijemput semula ahli keluarga, malah ada yang langsung tidak dikunjungi sepanjang berada di wad.
Perkara ini bukan hanya mengundang simpati, tetapi menunjukkan keretakan nilai kekeluargaan dan kemanusiaan dalam masyarakat. Isu ini bukan sahaja menyentuh aspek kemanusiaan, tetapi mencerminkan nilai dan akhlak masyarakat hari ini.
Ini dibuktikan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah:
- Pada 2021, seramai 752 warga emas diabaikan dan ditinggalkan di hospital. Daripada jumlah itu, 412 kes (55 %) ditempatkan di institusi yang bersesuaian.
- Data kumulatif dari 2018 hingga Jun 2022 menunjukkan sebanyak 2,144 warga emas diabaikan atau ditinggalkan di hospital di seluruh negara.
- Daripada angka kumulatif tersebut, 914 kes (kira‑kira 43 %) berjaya disatukan kembali dengan keluarga atau waris mereka.
- Untuk kes yang tidak dapat disatukan dengan keluarga, sebanyak 1,230 orang telah ditempatkan di institusi kebajikan yang bersesuaian.
Statistik ini memperlihatkan bahawa pengabaian warga emas di hospital bukanlah isu kecil, dan memerlukan perhatian serius daripada masyarakat, pihak hospital dan kerajaan.
Persoalannya mengapa perkara ini berlaku. Apakah faktor yang menyebabkan ada anak-anak secara senyap menjadi ‘anak derhaka’ apakah beban yang dipikul sehingga sanggup meninggalkan ibu bapa di hospital?
Selepas diteliti dan ditanya di pihak waris ini jawapan mereka:
-
Beban penjagaan terlalu berat
Kebanyakan waris adalah dalam kalangan anak-anak yang bekerja sepenuh masa dan tidak mampu menjaga ibu bapa yang uzur, terutama jika memerlukan penjagaan rapi seperti pesakit strok atau yang terlantar. Jadi cara singkat yang mereka rasakan sesuai adalah dengan meninggalkan terus ibu bapa di hospital. Mereka juga merasakan di hospital ibu bapa akan mendapat makanan secukupnya dan rawatan dari pihak hospital tanpa memikirkan kesan kepada hospital.
-
Konflik keluarga
Pertelingkahan antara adik-beradik atau hubungan renggang dengan ibu bapa menyebabkan tanggungjawab menjaga warga emas sering dipinggirkan. Apabila ini berlaku mereka mengambil jalan mudah dengan membiarkan ibu bapa di hospital kerana merasakan ia lebih selamat.
-
Masalah kewangan
Kos penjagaan warga emas, terutama yang berpenyakit kronik, agak tinggi. Sesetengah keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menanggung perbelanjaan ubat-ubatan, lampin pakai buang, susu atau rawatan susulan.
-
Tiada kesedaran tanggungjawab
Sikap lepas tangan dan tidak mahu terikat dengan tanggungjawab menjaga orang tua juga menjadi penyumbang utama. Ada yang menganggap hospital sebagai ‘tempat selamat’ untuk meninggalkan mereka. Mereka tidak berfikir hospital juga akan mencari cara lain bagi menempatkan warga emas ini dengan meletakkan mereka di rumah orang tua.
Justeru, pengabaian warga emas di hospital bukan sekadar isu logistik, tetapi cerminan kehilangan nilai kasih sayang dalam masyarakat. Mereka yang pernah mendukung, membesarkan dan berkorban untuk anak-anak, kini dibiarkan dalam sepi. Sudah tiba masa seluruh masyarakat bangkit bukan hanya menyalahkan, tetapi mencari jalan penyelesaian bersama. Selagi mereka masih hidup, masih ada peluang untuk kita menebusnya.
Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah pengabaian warga emas ini terutama yang ditinggalkan di hospital iaitu:
-
Pendidikan nilai kekeluargaan sejak awal
Tanamkan rasa hormat dan tanggungjawab terhadap ibu bapa sejak kecil. Pendidikan akhlak dan agama harus diterapkan dalam keluarga dan sekolah. Tunjukkan nilai kasih sayang tanpa had, biar anak-anak faham ibu bapa bukan hanya perlu disayang ketika mereka masih berdaya tetapi perlu dijaga ketika usia semakin jauh dan kesihatan semakin rapuh.
-
Sokongan kerajaan dan komuniti
Dalam hal ini perlu ada sistem sokongan seperti pusat jagaan warga emas berdaftar, bantuan penjaga (caregiver support), serta klinik komuniti bergerak untuk mengurangkan beban keluarga. Apa yang boleh dilakukan ialah waris boleh berdaftar dengan klinik komuniti bergerak dan boleh memberitahu masalah yang mereka hadapi kepada pihak kerajaan. Pihak berdaftar boleh melawat keluarga pada masa yang ditetapkan serta memberikan bantuan kewangan, makanan atau ubat-ubatan pada waris yang kurang berkemampuan.
-
Intervensi hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Apabila pesakit tidak dijemput waris, pihak hospital perlu segera maklumkan kepada JKM untuk tindakan lanjut. Wujudkan protokol khas bagi kes warga emas ditinggalkan agar mudah memantau dan mencari waris semula.
-
Peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan
NGO boleh memainkan peranan memberi bantuan makanan, lawatan berkala dan kaunseling kepada warga emas serta keluarga mereka. Dengan cara ini waris berasa dihargai dan tidak mungkin mereka sanggup meninggalkan ibu bapa di hospital selepas segala bantuan diperlukan diberikan oleh NGO atau sukarelawan.
Pengabaian warga emas adalah luka dalam diam yang mencemarkan nilai kemanusiaan kita. Mereka tidak minta dibalas wang ringgit, cukup sekadar dihargai dan disayangi. Jangan sampai satu hari nanti kita pula yang duduk di kerusi yang sama, memandang ke luar jendela, menanti suara yang tidak lagi kedengaran. Hargailah mereka selagi ada. Kerana doa dan redha merekalah, kita berada di tempat kita hari ini.