Kayap Sebenarnya Bahaya Atau Tidak?
June 27, 2023Pembedahan Di Lewat Usia? Ini 10 Cara Penjagaannya
September 1, 2023Persediaan Sebelum Meninggal Dunia
Kematian bukanlah sesuatu yang boleh dirancang atau ditentukan, sebaliknya ia adalah rahsia Allah yang tidak diketahui sesiapa. Namun apabila pasangan meninggal dunia sudah pasti ia adalah ujian paling sukar namun terpaksa dihadapi apatah lagi sekiranya membabitkan kematian suami, dengan isteri perlu bersedia menjaga anak-anak yang ditinggalkan.
Setiap wanita yang melalui fasa kehilangan ini pasti akan merasai kesedihan itu. Walaupun begitu, seorang isteri perlu tabah menghadapi kematian suami kerana masih ada anak-anak dan keluarga yang perlu meneruskan kehidupan.
Sebenarnya ada banyak perkara yang perlu dilakukan isteri setelah kematian suaminya. Di antara urusan penting dan pertama perlu diselesaikan adalah pembayaran hutang arwah, pengeluaran wang simpanan serta mendapatkan duit tuntutan hibah dan takaful.
Ianya perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan. Semakin lambat tindakan di ambil maka semakin lambat proses dilakukan. Namun sebelum semua perkara ini dilakukan si isteri seharusnya menerima kematian suami dengan redha. Dia perlu memahami pasangan hanyalah pinjaman Allah sahaja bukannya milik yang kekal.
Jika mahu menangis menangislah seadanya, luahkan kepada mereka yang dipercayai bagi mengurangkan kesedihan itu. Bagi memudahkan urusan sebenarnya ketika pasangan masih hidup ia adalah waktu yang tepat untuk saling mempercayai terutama dalam urusan kewangan.
Untuk itu maklumkan kepada pasangan password telefon genggam, email, myeg dan semua nombor pin kad-kad ATM. Pin No ATM sangatlah perlu agar boleh dikeluarkan semua duit yang ada.
Namun begitu semua duit perlu diagihkan mengikut faraid sebaik sahaja pendaftaran sijil kematian dilakukan dan semua akaun akan dibekukan.
Selepas itu lakukan perkara di bawah sebaik sahaja pasangan meninggal dunia antaranya:
-
Buat salinan
Buat salinan kad pengenalan, sijil kematian, surat permit pengkebumian, laporan doktor, sijil nikah, surat beranak dan kad pengenalan anak-anak. Dokumen ini perlu disahkan dan disimpan di dalam satu fail berserta salinan asli. Ini dilakukan bagi memudahkan urusan di kemudian hari.
-
Selesaikan hutang pasangan
Sebenarnya ketika masih hidup adalah sangat penting pasangan memaklumkan semua tanggungan termasuk bil bulanan, kad kredit, pinjaman bank dan semua hutang termasuk aset seperti rumah, tanah dan simpanan yang ada. Ini akan memudahkan urusan termasuk menyelesaikan hutang dan harta yang ditinggalkan.
Biarpun yang ditinggalkan akan merasa susah, tetapi yang meninggal dunia itu akan lebih susah jika hutang dan harta tidak diurus dengan segera. Hutang adalah wajib untuk dibayar. Anda sebagai waris bertanggungjawab untuk menjelaskan hutang arwah.
Maklumkan kepada institusi kewangan atau bank di mana arwah ada membuat pinjaman dan masih mempunyai outstanding. Dapatkan berapa baki hutang yang perlu dijelaskan. Namun ada hutang yang akan diselesaikan kerana ada mengambil pakej perlindungan atau takaful yang dapat berikan perlindungan apabila berlakunya kematian.
Di antaranya adalah MLTT atau MRTT bagi pembiayaan perumahan. Diharapkan perlindungan tersebut mencukupi untuk menjelaskan baki hutang yang ada.
-
Semakan duit simpanan dan pelaburan
Sekiranya suami memiilki caruman KWSP semasa hayatnya, isteri ataupun waris perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP yang berdekatan untuk membuat pengeluaran duit KWSP tersebut. Sama juga halnya dengan simpanan dalam ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Duit dalam amanah saham atau pelaburan saham juga boleh dikeluarkan dengan mengemukakan bukti yang sewajarnya.
Kita memang perlu bersedih dan berkabung apabila berlakunya kematian suami yang dicintai. Tetapi kena kuatkan juga semangat dan teruskan kehidupan demi anak-anak dan keluarga yang masih ada.
-
Khairat kematian
Sangat penting agar anda menghubungi pihak bank yang berkaitan supaya outstanding bil tidak dikira faedahnya. Anda juga boleh mendapatkan khairat kematian daripada bank, syarikat insuran, socso, KWSP dalam tempoh waktu ditetapkan.
-
Isteri perlu belajar iddah
Tempoh iddah adalah 4 bulan 10 hari bukan 44 hari. Dalam fasa ini anda harus tahu apa yang perlu anda lakukan.
-
Pengagihan harga
Ambil tahu mengenai pengagihan harta. Apa itu faraid. Perlu tahu siapa yang berhak ke atas harta yang ditinggalkan dan berapa banyak perlu diagih-agihkan. Penama bukanlah bermakna harta ditinggalkan seratus peratus kepada mereka. Penama wajib menguruskan pembahagian harta mengikut syariat yang telah ditetapkan. Jangan sehingga termakan harta anak yatim.
-
Semakan perlindungan Takaful atau Hibah
Bagi memudahkan kerja isteri dan waris, perlu untuk mengenali siapakah yang menjadi ejen takaful suami. Atau sekiranya arwah mempunyai seorang penasihat kewangan. Sekiranya suami memiliki pelan takaful hayat dengan jumlah yang besar, waris dan isteri boleh menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang-hutang sedia ada. Selepas selesai bayar hutang, bakinya boleh digunakan sebagai wang belanja untuk meneruskan kehidupan.
Salah satu kegunaan takaful adalah sebagai alat ‘penggantian pendapatan’ atau income replacement. Sekiranya apa-apa terjadi, waris akan dapat pampasan di atas kematian atau tidak boleh bekerja disebabkan kemalangan.
-
Jaga silaturahim
Sangat penting menjaga hubungan silaturrahim di antara ahli keluarga, ipar duai, sahabat handai, jiran tetangga dan sesiapa sahaja. InsyaAllah, mereka ini yang akan datang membantu apabila anda berasa kehilangan, keseorangan atau tidak berdaya.
Akhir sekali berdamailah dengan takdir hidup anda. Dengan berdamai hati anda akan ikhlas dan redha menerimanya seterusnya meneruskan fasa kehidupan baru bersama anak-anak.