Bahaya Insomnia Boleh Ganggu Fungsi Tubuh
September 25, 2022Nak Bersara Atau Nak Jaga Cucu?
October 2, 2022Awasi 9 Tanda Penyebab Kemurungan
Aminah, 56, mula berubah sikap. Ini mungkin penyebab kemurungan. Dulunya dia sangat peramah dan ceria tetapi selepas kematian suami dia menjadi pendiam dan tidak mahu makan. Walaupun pelbagai cara dilakukan anak-anaknya namun dalam tempoh dua bulan selepas suami meninggal sikapnya masih sama.
Anak-anak masih buntu bagaimana membantu ibu mereka yang berubah sikap ini. Tambahan pula mereka juga ada kerjaya masing-masing dan masa yang terhad untuk menjaga ibu setiap masa.
Akhirnya salah seorang anak membawa Aminah bertemu pakar psikiatrik untuk mendalami, memahami apakah cara yang boleh dilakukan agar ibu tidak terus murung sehingga menjadi nyanyuk atau demensia.
Sebenarnya sebagai manusia biasa, tiada seorang pun akan terlepas dari kesunyian. Namun golongan tua sangat terdedah terdedah kepada risiko ini terutama apabila usia meningkat ditambah pula anak-anak yang mula menjalani kehidupan mereka sendiri dan membiarkan ibu dan bapa berseorangan di rumah.
Kesunyian sekiranya tidak dicegah dan dirawat boleh membawa kepada kemurungan yang serius, penurunan daya tahan jangkitan penyakit, kemerosotan kognitif dan masalah kesihatan mental.
Lazimnya warga emas akan menunjukkan tanda-tanda yang mereka sedang kesunyian seperti tidak mahu makan, tidur tidak lena dan mula menjadi pendiam.
Ada juga orang tua menjadi pelupa atau sering berasa bimbang menyebabkan anak menyangka mereka menghadapi masalah nyanyuk atau demensia. Namun selepas bertemu pakar kesihatan mental ia sebenarnya hanyalah kesunyian.
Oleh itu, sangat penting untuk anak peka dengan perubahan awal yang berlaku kepada ibu bapa. Dengan cara meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa dan mendengar luahan atau masalah yang mengganggu fikiran mereka dapat mengurangkan rasa sunyi itu.
Namun ada juga yang berlaku disebabkan ibu bapa berasa tersisih dan tertekan kerana kehilangan insan tersayang, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan.
Terdapat beberapa tanda anda boleh awasi yang menunjukkan ibu bapa anda sedang kesunyian.
TANDA-TANDA IBU BAPA MENGALAMI KESUNYIAN
-
Perubahan mood secara tiba-tiba
Biasanya perubahan ini disebabkan kesedihan, sikap tidak peduli, atau kemarahan. Oleh kerana perubahan mood juga dapat dilihat pada orang yang mengalami demensia, ramai yang membuat kesilapan salah mengenainya.
Terdapat perbezaan utama iaitu mereka yang mengalami kesunyian tahu mengenainya manakala mereka yang mengalami demensia mungkin tidak menyedarinya walaupun ditunjukkan kepada mereka. Perubahan mood pada orang yang mengalami demensia juga berlaku tanpa sebab tertentu.
-
Kesukaran kognitif
Kecacatan kognitif, seperti hilang ingatan atau lupa akan berlaku dari semasa ke semasa. Namun ia bukanlah kerap dan berlarutan seperti demensia. Mungkin ia hanya lupa yang sementara sahaja misalnya terlupa tarikh lahir anak-anak atau baju yang pakai.
Perubahan kognitif pada mereka yang mengalami kesunyian ini tidak menyebabkan mereka tidak dapat bercakap dengan keluarga atau mengalami kesukaran memahami orang lain. Walau bagaimanapun, kesukaran kognitif yang berterusan akan memburukkan lagi gejala kesunyian sehingga menjadi kemurungan.
-
Sukar tidur atau Insomnia
Kebimbangan dan kesedihan yang berterusan sedikit demi sedikit akan mempengaruhi kesihatan. Mungkin ia berpunca daripada kehilangan orang tersayang sehingga mereka mengalami kesukaran tidur. Beberapa kajian mendapati bahawa orang yang mengalami insomnia berisiko tinggi mengalami kemurungan.Selain itu mereka juga sukar menumpukan perhatian pada tugas, dan juga mudah pelupa.
-
Keletihan
Majoriti orang yang mengalami kesunyian akan menunjukkan gejala keletihan. Ini disebabkan kesukaran untuk tidur serta sering berfikir menyebabkan mereka mudah letih. Keletihan boleh berlaku selama berminggu-minggu hingga berbulan-bulan.
-
Menyendiri
Kesunyian menyebabkan sesetengah orang menarik diri dari semua jenis interaksi sosial, termasuk dengan ahli keluarga. Ini kerana mereka berasa tidak selesa untuk bersosial dan terus menyendiri.
-
Tidak melakukan perkara yang disukai
Lama-lama kelamaan mereka yang berasa sunyi tidak lagi melakukan aktiviti yang mereka gemari seperti menjahit, memasak, berkebun atau bersenam. Pada mereka duduk berseorangan adalah paling selesa. Saat mereka menarik diri lebih jauh dari kehidupan, mereka mula menjadi sedih sehingga murung. Kemurungan sangat bahaya kerana ia boleh menyebabkan demensia.
-
Selalu sakit
Sekiranya ibu bapa anda sihat sebelum ini, dan mula menunjukkan tanda sering demam, batuk dan selesema ia menjadi petanda kepada kemurungan. Kesakitan bukan sahaja membabitkan fizikal tetapi juga emosi. Kesakitan berpotensi mengubah fikiran, perasaan, dan tingkah laku. Ini boleh menyebabkan kitaran di mana kesakitan memburukkan lagi kemurungan.
-
Tiada selera makan
Ibu bapa anda mula makan dalam jumlah yang sedikit. Kadang-kadang tidak mahu makan. Mereka juga mula makan makanan tertentu seperti bubur atau makanan manis seperti kuih bingka dan acar.
Tiada selera makan akan menyebabkan penurunan berat badan yang tidak disengajakan. Ia boleh meletakkan ibu bapa kepada risiko penyakit. Perubahan lain juga mungkin termasuk masalah pencernaan seperti cirit-birit yang kerap atau sembelit.
-
Rasa bimbang yang berlarutan
Kebimbangan adalah perkara biasa, tetapi jika tidak terkawal ia boleh menyebabkan kemurungan. Sentiasa memujuk ibu bapa mengenai tiada apa yang perlu dibimbangkan. Sebaliknya bergembira melalui hari-hari mendatang.