Gejala Tanda Awal Demensia
March 31, 2022Malaysia Negara Super Tua Menjelang 2056?
March 31, 2022MENJAGA ORANG SAKIT JUGA PERLUKAN REHAT
Ramai yang memberi tumpuan kepada penjagaan orang tua sahaja dan mengabaikan kepada si penjaga. Hakikatnya individu yang menghabiskan masa menjaga warga emas terutama individu yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan strok berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.
Menurut kajian, individu yang tertekan menjaga orang tua yang sedang sakit adalah kerana tanggungjawab yang terpaksa dipikul mereka. Ini kerana berdepan dengan pesakit diabetes, strok atau demensia bermaksud mereka perlu bersedia dari segi emosi dan fizikal.
Mereka juga perlu sentiasa fokus dan peka keadaan pesakit. Misalnya memastikan kadar gula dalam darah pesakit berada dalam keadaan baik, serta mengambil ubat-ubatan mengikut waktunya.
Lebih penting penjaga juga perlu memastikan pesakit tidak menunjukkan apa-apa gejala hiperglisemia atau hipoglisemia.
JANGAN PANDANG REMEH TEKANAN
Sebenarnya tekanan dialami penjaga adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang remeh. Banyak kajian yang dijalankan ke atas penjaga pesakit diabetes dan kebanyakannya memfokuskan mengenai stres dan kesannya terhadap kesihatan mental mereka.
Stres dalam kalangan penjaga sebenarnya boleh diuruskan. Namun, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan supaya kesan negatif terhadap kesihatan mental penjaga boleh dikurangkan antaranya dengan:
- Sentiasa belajar
Apabila penjaga mendengar perkataan yang kompleks seperti terapi insulin, tahap gula dalam darah ataupun hipoglisemia, ramai yang jadi panik dan mula rasa rendah diri. Ini kerana ada di antara mereka yang tidak mempunyai pendidikan dalam bidang kesihatan atau bukan pelajar di bidang kejururawatan.
Justeru mereka tidak yakin dan berasa tidak layak untuk menjaga pesakit diabetes. Walau bagaimanapun, penjaga boleh mengatasi masalah ini sekiranya mereka sanggup untuk belajar lebih lanjut mengenai penyakit ini. Malah banyak info yang boleh dibaca menerusi Internet dan kemudian dapatkan kepastian dengan mereka yang pakar dalam bidang kesihatan.
- Perlu yakin ketika menjaga pesakit.
Sebenarnya penjaga tidak tidak perlu melakukan semua perkara untuk pesakit. Ada beberapa aktiviti yang mereka boleh uruskan sendiri seperti mandi, menukar pakaian dan makan. Jadi biarkan mereka menguruskan diri sendiri dan anda cuba pantau dari jauh. Anda perlu yakin warga emas boleh urus diri sendiri tanpa bantuan orang lain.
- Pastikan kekal sihat
Menjadi penjaga kepada pesakit diabetes bukan bermaksud anda perlu korbankan seluruh hidup anda untuk mereka. Sebaliknya, anda juga perlu menjaga kesihatan anda sendiri. Jaga pemakanan dengan mengambil makanan sihat seperti sayuran hijau, buah-buahan.Amalkan vitamin C untuk kekal bertenaga. Sentiasa basuh tangan sebelum menyentuh warga emas dan pastikan pakaian anda dalam keadaan bersih. Pastikan anda tidur dengan cukup, amalkan diet yang seimbang dan kekal hidrat. Selain itu, anda juga boleh menentukan sasaran yang anda ingin capai setiap hari supaya anda tidak lupa mengenai kesihatan diri.
Sebagai contoh, anda boleh cuba untuk tidur pada masa yang sama setiap malam ataupun gunakan aplikasi pada telefon bimbit untuk pastikan anda minum air dengan cukup. Walaupun nampak kecil, semua ini dapat membantu penjaga untuk mengurangkan stres yang dialami.
- Lakukan yang penting dahulu
Ramai penjaga yang rasa bersalah jika tidak dapat melakukan segalanya ketika menjaga pesakit. Walau bagaimanapun, menurut pakar, itulah realiti sebenar sebagai seorang penjaga – tiada siapapun dapat lakukan semua perkara dalam satu-satu masa.
Oleh sebab itu, kekalkan fokus anda dan cuba lakukan cara ini untuk mengatasi stres: Pecahkan tugasan besar kepada sesuatu yang lebih kecil.Susun tugas harian mengikut kepentingan. Lakukan tugas yang penting dahulu.
- Minta bantuan
Minta bantuan daripada orang lain jika anda memerlukannya. Jika pesakit adalah ahli keluarga, cuba minta bantuan ahli keluarga yang lain untuk membantu. Lebih baik sekiranya anda bahagikan tugas dengan ahli keluarga lain.
Sekiranya anda bekerja sebagai penjaga, jelaskan pada majikan yang anda memerlukan bantuan tambahan. Ini kerana menjaga pesakit diabetes adalah tugasan berkumpulan dan mungkin sukar dilakukan secara berseorangan. Antara aktiviti yang memerlukan bantuan orang lain ialah:
- Menetapkan tarikh untuk janji temu bersama doktor.
- Beli barang-barang keperluan harian.
- Bayar bil.
- Sediakan makanan.
- Berehat secukupnya
- Rehat
Rehat sangat penting untuk kesihatan mental dan emosi. Mungkin anda akan rasa bersalah, kerana berehat dengan kerap, tetapi percayalah rehat yang dilakukan secara berkala walaupun hanya 30 minit boleh membuatkan anda rasa lebih baik.
Rehat juga adalah satu keperluan. Jika anda mendapat rehat yang mencukupi, anda boleh menjaga pesakit dengan lebih baik. Pastikan anda mempunyai masa bersendirian sekurang-kurangnya 1 atau 2 jam sehari.
Lakukan kerja dan berehat selama 30 minit sebelum melakukan tugas seterusnya jika anda sibuk pada hari tersebut. Jika pesakit sedang meluangkan masa bersama orang lain, ambil masa tersebut untuk berehat dan relaks.
- Elakkan burn-out
Jangan memaksa diri untuk menjaga orang tua ketika anda terlalu penat. Ini akan membuatkan anda berasa sangat tertekan. Penjaga yang tidak mempunyai rehat yang mencukupi berkemungkinan untuk melakukan banyak kesalahan semasa menjaga pesakit diabetes.
Anda juga seharusnya peka dengan simptom burn-out. Antaranya ialah:
- Mudah kecewa dengan perkara kecil.
- Sukar untuk rasa gembira.
- Rasa amat penat.
- Sukar untuk fokus.
- Tidak ada selera makan.
Anda harus menjaga diri anda agar tidak tertekan sehingga mengalami kemurungan. Jika ini berlaku segera dapatkan nasihat pakar supaya penyakit anda tidak melarat. Anda sendiri tidak mahu, anda dijaga orang lain sedangkan masih bertenaga.