
Gagal Kawal Emosi Punca Kematian Warga Emas
November 27, 2025
Menopaus Awal Kebaikan & Risiko Terhadap Kesihatan Wanita
November 28, 2025Ada pepatah mengatakan seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Inilah hakikat yang sering berlaku dalam realiti masyarakat hari ini. Pengorbanan ibu yang tidak berbelah bahagi, kadang-kadang dibalas dengan pengabaian saat usia senja menjelang.
Ketika tubuhnya mula lemah, ingatannya semakin kurang dan langkahnya perlahan, dia hanya mengharapkan sedikit perhatian dan kasih dari anak-anak yang pernah dibesarkannya dengan sepenuh cinta.
Namun malangnya, ramai yang memilih untuk ‘tidak nampak’, dan memberi alasan sibuk, atau menyerahkan tanggungjawab itu kepada seorang anak yang nampak lebih sesuai.
Ibu yang dahulunya membesarkan semua anak dengan tangan sendiri, kini hanya ditemani seorang anak. Anak ini tidak mengeluh, tetapi setiap malam bila si ibu sedang tidur, anak itu menangis perlahan. Dia juga ada rasa letih dan penat.
Namun dia berkata, “Biarlah mereka lupa, asalkan aku tidak lupakan syurga yang ada di bawah telapak kaki ibu.” Dalam diam, dia menyimpan kekuatan dari doa ibu yang tidak pernah putus. Walaupun tiada harta dibalas, walaupun tidak dipuji, dia tahu Allah sedang memerhati. Dan kasih seorang ibu itu, cukup untuk dia terus bertahan.
Sebagai manusia, apabila hanya seorang anak memikul tanggungjawab menjaga ibu atau bapa, pasti akan ada rasa penat, sedih dan kecewa. Lebih pedih apabila saudara sendiri bersikap lepas tangan. Namun begitu
- Tidak perlu bergaduh tetapi boleh bersuara
Sebenarnya setiap penjaga bukan ingin meminta simpati, tetapi mengharapkan tanggungjawab bersama. Sebagai adik-beradik, cuba sampaikan dengan hikmah, bukan dalam marah. Kadang mereka perlukan peringatan, bukan herdikan.
- Jika mereka tetap tidak peduli cuba berlapang dada
Setelah kita menegur dan mengajak, tetapi tiada perubahan, maka berbalik pada redha dan sabar. Mereka akan ditanya oleh Allah kelak, sedangkan kita sudah melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
- Jangan bazirkan tenaga untuk membenci
Rasa kecewa itu wajar. Tapi simpan perasaan itu untuk menjaga ibu sebaik mungkin. Tidak perlu melawan ketidakpuasan hati dengan dendam, cukup dengan kebaikan yang ikhlas.
- Doa itu senjata paling kuat
Berdoalah agar hati mereka dilembutkan. Kadang perubahan bukan serta-merta. Allah tahu masa yang tepat.
- Hargai diri sendiri
Walaupun orang lain tidak nampak pengorbanan anda, Allah Maha Melihat. Apa yang anda lalui, mungkin jalan untuk ke syurga. Apabila hati mula tenang, itulah hadiah paling mahal dari Tuhan.
Sebenarnya untuk meredakan rasa kecewa, sebaiknya jangan bergaduh, tetapi jangan pula pendam sehingga memakan diri. Luah pada Allah luahkan pada rakan atau saudara yang boleh dipercayai. Teruskan berbakti kepada ibu. Ini kerana cinta pada ibu dan redha Allah itu lebih bernilai.
Bagaimana untuk menghadirkan keikhlasan dan membuat keputusan dengan tenang
-
Sedar semua ini adalah amanah
Ibu, anak-anak dan kerjaya semuanya amanah daripada Allah. Kita bukan perlu memilih siapa yang lebih penting, tapi bagaimana mengimbangkan amanah itu seadil mungkin.
-
Ingat jasa ibu tidak ternilai
Ibu menjaga kita tanpa mengira waktu, usia atau penat. Saat kita kini diuji untuk menjaga beliau, anggaplah ini peluang membalas walau setitis dari laut kasihnya.
-
Minta kekuatan dari Allah
Doa adalah senjata kita. Setiap hari mohon agar Allah lapangkan dada, lembutkan hati, dan beri keberkatan masa agar mampu mengurus semuanya dengan ikhlas.
-
Babitkan keluarga dan pasangan
Berbincang dengan pasangan dan anak-anak agar mereka faham situasi. Apabila ada sokongan, beban emosi terasa lebih ringan.
-
Bahagikan masa dengan bijak
Anda tidak perlu 24 jam di sisi ibu. Jangan malu untuk minta tolong jiran, saudara, atau anak-anak saudara bantu walaupun hanya untuk jaga ibu sekejap sementara keluar membeli barang. Anak-anak juga belajar nilai kehidupan apabila melihat ibubapa mereka menjaga nenek dengan sabar.
-
Jangan abaikan diri sendiri
Faham anda mungkin letih, murung, tertekan atau marah. Semua emosi ini boleh merosakkan keikhlasan. Jadi, jaga kesihatan emosi dan fizikal agar terus mampu menjaga ibu dengan baik. Berehat apabila penat walau 10-15 minit sehari untuk minum kopi, zikir sendirian atau sekadar menarik nafas panjang sangat penting untuk keseimbangan emosi. Ibu tetap diutamakan dalam hal berbakti, terutama jika tiada siapa lagi yang menjaga. Tapi ia bukan bermaksud mengabaikan anak dan pasangan. Babitkan mereka, jadikan mereka sebahagian daripada proses kasih sayang itu.
Akhirnya sekali berdoalah selalu. Minta Allah beri kekuatan, kesabaran dan keikhlasan. Tidak semua orang dipilih untuk menjaga ibu hingga akhir hayat itu sendiri adalah kemuliaan yang sangat tinggi.




