
Adakah Kita Bersedia Menuju Negara Tua
March 4, 2026
Cara Membantu Warga Emas Kekal Aktif
May 12, 2026Pernahkah kita berhenti sejenak, lalu memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang?
Kulit yang dahulu tegang dan berisi kini dipenuhi garis halus. Wajah yang pernah tegas dan bertenaga semakin kendur dimamah usia. Tangan yang dulu kuat memandikan kita, kini mula menggigil, berjalan pula perlu bertongkat. Langkah yang dahulu pantas mengejar masa, kini perlahan—seolah-olah meminta kita untuk menunggu.
Inilah hakikat kehidupan—daripada muda menjadi tua, daripada kuat akhirnya menjadi lemah. Dahulu, mereka tidak pernah mengaku penat. Walaupun tubuh letih, mereka tetap bangun di tengah malam menukar lampin dan menyediakan susu. Walaupun hati sarat dengan kerisauan, mereka tetap tersenyum dan bercerita ceria.
Segala pengorbanan itu dilakukan demi anak-anak dan keluarga.
Seorang ibu berjaga malam ketika kita sakit. Seorang ayah pula bekerja keras tanpa banyak bicara demi memastikan keluarga hidup selesa. Mereka kuat—bukan kerana tidak pernah sakit, tetapi kerana cinta mereka mengatasi segalanya.
Namun hari ini, peranan itu mula berubah.
Masa terus berputar. Tanpa kita sedari, mereka yang dahulu menjaga kita kini perlahan-lahan memerlukan kita pula untuk menjaga mereka. Tangan yang dahulu memimpin langkah kita kini memerlukan pegangan kita. Mulut yang dahulu menyuapkan kita makanan kini menunggu kita untuk melakukan perkara yang sama.
Namun di sinilah ramai yang terlepas pandang. Kita masih melihat mereka seperti dahulu, sedangkan hakikatnya mereka sudah tidak sekuat itu.
Lebih menyedihkan, ada yang mula meninggikan suara, tidak sabar melayan, bahkan bercakap kasar. Ada yang menjauh kerana merasa terbeban menjaga ibu bapa. Malah, ada yang sanggup membiarkan mereka kesunyian—ditinggalkan di rumah atau di pusat jagaan tanpa kunjungan.
Sedangkan mereka tidak pernah berbuat demikian kepada kita.
Lemah Mereka Bukan Pilihan
Tiada siapa yang mahu menjadi tua. Tiada siapa yang ingin bergantung kepada orang lain. Namun usia tidak pernah meminta izin. Ia terus berjalan, membawa kita ke fasa yang tidak dapat dielakkan.
Apabila ibu mula pelupa, apabila ayah semakin perlahan, itu bukan beban untuk kita. Itu adalah tanda bahawa masa sedang mengambil sedikit demi sedikit kekuatan mereka.
Justeru, hargailah mereka sebelum terlambat.
Ramai antara kita merasakan masih ada masa.
“Nantilah, tengah sibuk kerja.”
“Hari ini tak sempat, esoklah.”
Kita selalu bertangguh—
nanti hendak pulang menjenguk,
nanti hendak membawa mereka berjalan,
nanti hendak mengucapkan terima kasih.
Namun “nanti” itu tidak pernah dijanjikan.
Suatu hari nanti, semua “nanti” itu mungkin tidak lagi tertunai. Yang tinggal hanyalah penyesalan. Rumah yang dahulu riuh akan menjadi sunyi. Tiada lagi suara yang memanggil nama kita. Tiada lagi tangan yang menadah doa untuk kita.
Dan pada waktu itu, penyesalan tidak lagi mampu mengubah apa-apa.
Selagi mereka masih bernafas, kita masih punya peluang. Peluang untuk duduk berbual tanpa tergesa-gesa. Peluang untuk mendengar cerita lama walaupun berulang. Peluang untuk memeluk mereka tanpa sebab.
Ucapkanlah “terima kasih”. Ciumlah mereka dengan penuh kasih sayang.
Mungkin bagi kita ia perkara kecil, tetapi bagi mereka, itulah kebahagiaan yang tidak ternilai.
Perjalanan hidup ini tidak pernah berhenti. Hari ini mereka lemah, esok lusa mungkin giliran kita pula.
Sebelum masa mengambil mereka sepenuhnya, sebelum yang tinggal hanyalah gambar dan kenangan—hargailah mereka.
Kerana suatu hari nanti, kita akan merindui perkara yang hari ini kita anggap biasa. Sedangkan hakikatnya, itulah memori paling berharga yang akan kita simpan hingga ke hujung usia.
Akhirnya, semua akan melalui perjalanan yang sama—
daripada kuat menjadi lemah,
daripada sihat menjadi uzur,
daripada ingat menjadi pelupa.
Dan di situlah kita belajar erti kasih yang sebenar.




