
Fenomena Kematian Mengejut Meningkat
July 23, 2025
Menghargai Waktu Bersama: Sebuah Kisah Kasih Sayang
August 16, 2025Bagi individu yang pernah menjaga ibu yang sedang menghidap demensia, pastinya ia sangat mencabar namun menyentuh jiwa. Menjaga insan tersayang ini bukan sekadar membabitkan fizikal, tetapi juga mental dan emosi yang mendalam.
Segalanya bermula apabila ibu saya mula menunjukkan tanda-tanda pelupa yang tidak biasa. Misalnya, dia sering bertanya ubat yang perlu diambil setiap 10 minit dan sering mengulangi soalan yang sama. Pada awalnya, kami menyangka ia hanya faktor usia.
Namun, lama-kelamaan, keadaannya semakin membimbangkan. Dia mula lupa nama anak-anak, lupa untuk mandi dan membasuh selepas membuang air besar. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa ibu menghidap demensia.
Sejak itu, kehidupan kami berubah sepenuhnya. Saya belajar menjadi lebih sabar kerana ibu yang dulunya tegas dan teratur, kini menjadi keliru dan bergantung sepenuhnya kepada kami. Ada masa dia tidak mengenali saya, anak kandungnya sendiri.
Pertanyaan seperti ‘awak siapa?’ sangat menyayat hati, tetapi saya tahu ia bukan salah ibu, sebaliknya itu penyakit yang meragut memorinya sahaja, bukan kasih sayangnya.
Di rumah setiap hari, saya perlu mengurus makan minum, ubat, pakaian, dan keselamatannya. Yang paling sukar ialah menghadapi perubahan emosinya. Kadang-kadang, dia menangis tanpa sebab, kadang-kadang marah dan menuduh kami mencuri barangnya yang sebenarnya di salah letak kerana lupa.
Namun, dalam segala kepayahan itu, saya belajar erti pengorbanan sebenar. Saya teringat semua yang ibu pernah lakukan untuk membesarkan saya, tidak pernah mengeluh, walaupun penat. Kini, tiba giliran saya membalas kasihnya, walaupun dalam bentuk yang berbeza.
Walaupun tidak mudah, saya bersyukur diberi peluang menjaga ibu hingga ke akhir hayatnya. Melalui pengalaman ini, saya belajar menjadi insan yang lebih penyayang, tabah, dan memahami bahawa kasih ibu itu tak akan pernah hilang, meskipun memorinya bersama saya sudah banyak yang dilupakan.
Saya percaya demensia mungkin meragut ingatan, tetapi tidak akan pernah memadamkan cintanya kepada anak-anak.
APA ITU DEMENSIA?
Demensia adalah satu keadaan kesihatan yang membabitkan kemerosotan fungsi otak seperti ingatan, pemikiran, pertimbangan, dan keupayaan menjalankan aktiviti harian. Penyakit ini sering dikaitkan dengan usia tua dan merupakan salah satu punca utama hilang keupayaan dalam kalangan warga emas.
Bagi anak-anak, memahami dan peka terhadap tanda-tanda awal demensia dalam kalangan ibu bapa amat penting demi kesejahteraan keluarga.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH ANAK-ANAK?
-
Kesan Awal Demensia
Anak-anak perlu tahu bahawa demensia bukan sekadar ‘lupa biasa’. Ia termasuk perubahan tingkah laku, kesukaran mencari perkataan, keliru dengan tempat atau masa, serta kecelaruan emosi. Jika ibu atau bapa menunjukkan tanda-tanda ini, anak-anak harus bersikap cakna dan tidak memandang ringan. Mengesan demensia awal boleh membantu mendapatkan rawatan atau sokongan yang sesuai untuk melambatkan proses kemerosotan.
-
Sokongan Emosi
Anak-anak perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan emosi. Ibu bapa yang menghidap demensia mudah terasa, keliru, atau marah tanpa sebab. Oleh itu, kesabaran, empati, dan kasih sayang sangat penting dalam menguruskan emosi mereka. Elakkan menegur secara kasar atau memperbetul secara menghina kerana ini boleh menjejaskan emosi ibu bapa.
-
Pengurusan Harian
Anak-anak harus membantu dalam pengurusan harian seperti memastikan ibu bapa mengambil ubat mengikut masa, menjaga keselamatan di rumah, serta menggalakkan aktiviti fizikal dan mental yang sesuai. Pada masa yang sama, penting untuk mendapatkan sokongan profesional seperti doktor, jururawat atau kaunselor untuk membimbing keluarga menghadapi cabaran ini.
-
Pemberian Penghormatan
Anak-anak perlu terus memberi penghormatan dan layanan terbaik kepada ibu bapa, walaupun mereka tidak lagi mengingati nama atau kenangan bersama. Pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak adalah tidak ternilai, maka sewajarnya mereka dihargai hingga ke akhir hayat.
Demensia bukan sekadar cabaran kesihatan, tetapi juga ujian kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Jika anak-anak cakna, prihatin, dan bertindak dengan bijak, ibu bapa yang menghidap demensia akan terus merasa dihargai dan disayangi.
TANDA-TANDA AWAL DEMENSIA:
- Kerap Lupa Perkara Harian
Lupa tarikh, tempat meletak barang, atau peristiwa yang baru berlaku. - Sukar Fokus dan Membuat Keputusan
Lambat mengira wang, keliru dengan masa. - Kesukaran Mencari Perkataan atau Berkomunikasi
Berhenti bercakap secara tiba-tiba atau lupa istilah mudah. - Perubahan Emosi atau Tingkah Laku
Mudah marah, murung, hilang minat pada aktiviti biasa. - Kekeliruan dengan Masa dan Tempat
Tidak mengingati hari, tersesat di tempat biasa.
LANGKAH MEMBANTU MELAMBATKAN DEMENSIA:
- Rangsang Mental Secara Berkala
Galakkan membaca, menyusun puzzle, atau zikir dan hafalan ayat mudah. - Kekalkan Rutin Harian yang Konsisten
Kurangkan perubahan mendadak yang boleh mengelirukan. - Berikan Makanan Seimbang
Lebihkan buah, sayur, omega-3 (ikan), dan kurangkan makanan diproses. - Pastikan Ibu Kekal Aktif Secara Fizikal
Senaman ringan seperti berjalan, regangan, atau senaman jantung. - Libatkan Ibu dalam Aktiviti Sosial dan Ibadah
Bercakap dengan ahli keluarga, solat berjemaah dan mendengar ceramah. - Pantau Kesihatan Secara Berkala
Rawat tekanan darah, kencing manis, kolesterol kerana ia berkait dengan kesihatan otak. - Cipta Suasana Rumah yang Selamat dan Selesa
Labelkan barang, gunakan warna cerah, kurangkan risiko terjatuh.
Paling penting, sentiasa bersabar, memberi kasih sayang, dan jangan memarahi ibu jika terlupa kerana emosi yang tenang membantu memperlahankan kemerosotan mental.
Kesimpulan
Demensia mungkin meragut ingatan, tetapi tidak akan pernah menghapuskan kasih sayang seorang ibu. Kita harus sentiasa memberi sokongan penuh kepada ibu bapa yang menghidap penyakit ini, kerana mereka pernah memberi segala-galanya untuk kita.




