
Bahaya Influenza untuk Warga Emas
November 2, 2025
Gagal Kawal Emosi Punca Kematian Warga Emas
November 27, 2025Perkahwinan di usia senja atau sesama warga emas bukan lagi sesuatu yang asing. Ia sering berlaku apabila suami atau isteri kehilangan pasangan terdahulu kerana kematian atau perceraian, lalu memilih untuk mengisi sisa hidup bersama seseorang yang memahami bagi menemani hari-hari tua.
Namun, keputusan ini tidak selalu mudah dan kerap kali menerima reaksi bercampur daripada anak-anak. Mengapa ada ibu bapa yang masih ingin membina mahligai kala berada di usia emas?
-
Mengatasi rasa sunyi yang melampau
Selepas kehilangan pasangan kerana kematian atau perceraian, ramai warga emas merasa terlalu sunyi, terutama apabila anak-anak sibuk dan tinggal berjauhan. Perkahwinan menjadi cara untuk mengisi kekosongan emosi dan memberi teman hidup yang memahami.
-
Perlukan peneman dan sokongan harian
Apabila usia semakin lanjut, seseorang akan perlukan sokongan sama ada untuk berubat, makan minum, atau sekadar teman berbual. Pasangan baharu mampu memberikan sokongan fizikal dan emosi yang sangat diperlukan.
-
Kesihatan mental dan emosi yang lebih stabil
Kesunyian boleh membawa kepada kemurungan. Dengan adanya pasangan, warga emas berasa lebih dihargai, tidak terasing dan ini membantu dari sudut kesihatan mental.
-
Keinginan menjalani kehidupan yang lebih bermakna
Ada yang mahu beribadah bersama, menghadiri kuliah agama, menziarahi keluarga, dan membuat amal jariah bersama pasangan sebagai pelengkap hidup menuju akhirat. Apabila semua anak sudah berkeluarga atau tidak lagi bergantung kepada ibu bapa, maka tiada lagi halangan besar untuk warga emas membuat keputusan hidup sendiri.
-
Pasangan baharu yang ikhlas dan sesuai
Kadang-kadang, pasangan yang dijumpai juga adalah warga emas, janda atau duda yang turut kesunyian. Jika kedua-duanya saling memahami dan ada niat yang baik, ia dianggap satu keputusan yang wajar.
Ada juga yang memilih untuk berkahwin semula kerana mahu menjaga pasangan yang mungkin tiada waris atau hidup sebatang kara. Ini menjadi ibadah dan amal soleh.
Namun ada juga beberapa perkara perlu diperhalusi seperti:
-
Reaksi keluarga
Anak-anak mungkin rasa tersisih, cemburu atau bimbang harta pusaka tergugat, terutama jika ibu bapa berkahwin dengan pasangan yang belum dikenali.
-
Isu kesihatan dan penjagaan
Warga emas berisiko tinggi memerlukan penjagaan khusus. Jika kedua-duanya uzur, tiada yang benar-benar mampu menjaga di antara satu sama lain.
-
Tekanan sosial
Masih ada stigma masyarakat terhadap perkahwinan warga emas, terutama wanita yang dianggap tidak sepatutnya berkahwin semula.
Wajarkah anak mengizinkan?
Sebagai anak, keutamaan harus diberi kepada kebahagiaan ibu bapa. Jika perkahwinan itu mendekatkan mereka kepada kebahagiaan, ketenangan dan ibadah, maka ia adalah sesuatu yang harus diraikan dan bukan dihalang.
Namun, anak-anak wajar memainkan peranan memastikan ibu bapa membuat keputusan dengan rasional, bukan kerana dipengaruhi atau dipergunakan. Pastikan pasangan baharu itu ikhlas dan mampu menjadi penyokong emosi, bukan beban.
Perkahwinan di usia senja adalah hak peribadi setiap insan, termasuk warga emas. Anak-anak tidak harus terlalu cepat menolak, tetapi cuba memahami dari sudut emosi dan kesunyian ibu bapa. Mungkin inilah hadiah terbaik buat mereka di akhir usia, teman berbicara, peneman ke masjid dan penyeri hari-hari tua.




