Ketahui Petanda Awal Batu Karang
March 2, 2023Sakit Kepala Ketika Puasa. Apa Penyebabnya?
March 27, 2023Teringat masa kecil ibu selalu berpesan kalau nak berpuasa penuh kena bangun sahur. Ini kami nak bercerita tentang makanan untuk bersahur.
Di Malaysia, umat Islam kebiasaannya bersahur seawal 4.30 pagi sehingga terdengarnya azan solat Subuh berkumandang. Umat Islam digalakkan untuk bersahur selewat yang mungkin iaitu 20 atau 30 minit sebelum azan Subuh bagi mengelak cepat merasa lapar.
Biarpun warga emas tergolong dalam kumpulan orang-orang yang tidak wajib berpuasa. Akan tetapi, Islam juga tidak melarang jika mereka ingin berpuasa. Matlamat utama bagi mereka adalah untuk memastikan puasa tidak memudaratkan kesihatan.
Selain daripada mendapatkan nasihat doktor tanggungjawab menyediakan makanan yang sihat ketika sahur juga terletak kepada penjaga.
Lazimnya, daya tenaga akan semakin merosot secara perlahan-lahan apabila usia meningkat. Kekurangan tenaga boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada tahap kesihatan seperti dehidrasi, sakit kepala, dan lemah fizikal.
Oleh itu ibu bapa memerlukan makanan super terbaik untuk bersahur. Apakah makanan itu. Di bawah disenaraikan 10 makanan terbaik untuk bersahur.
Makanan Untuk Bersahur Yang Berkhasiat
-
Kurma
Kurma cukup sinonim dengan Ramadan kerana ia bukan sahaja makanan sunnah tetapi khasiatnya yang banyak. Vitamin B dan zat besi yang terkandung dalam kurma dapat meningkatkan tenaga manakala, serat berupaya menyerap kandungan air daripada makanan lain dalam badan dan melambatkan pencernaan, sekaligus mengurangkan rasa lapar.
Kurma juga mempunyai indeks glisemik (IG) yang rendah. Ini bermakna gula semula jadi yang terdapat dalam buah ini tidak akan menjejaskan bacaan gula darah dan selamat untuk mereka yang ada diabetes. Ambil 1 hingga 3 biji kurma semasa sahur sudah memadai bagi mereka yang menghidap kencing manis.
-
Makanan berasaskan bijirin
Mungkin bijiran oat kurang disukai ibu bapa namun ketahuilah oat mengandungi serat tinggi dan membantu untuk berasa lebih kenyang dalam tempoh yang lama. Selain itu oat diperbuat daripada campuran oat dan susu sekaligus mempunyai pelbagai nutrisi.
Walau bagaimanapun, untuk pesakit darah tinggi dan diabetes disarankan membeli oat yang tidak mengandungi gula atau rendah gula. Galakkan ibu bapa makan oat dengan pelbagai cara iaitu dengan menambah air, campur susu atau masukkan buah-buahan serta kekacang untuk menyedapkan lagi oat tersebut.
-
Biskut
Jangan tak percaya biskut adalah makanan kedua yang membantu anda berasa kenyang semasa puasa. Kandungan tenaga setiap biskut adalah berbeza-beza dan biasanya dinyatakan pada bungkusannya. Contohnya, setiap 100g biskut mengandungi 458 kalori. Protein, lemak dan karbohidrat yang terdapat dalam biskut juga memenuhi keperluan pemakanan semasa puasa.
Jika ibu bapa tidak suka makan nasi atau oat mereka boleh mengambil biskut sebagai ganti, mereka boleh makan biskut dan cicah dengan secawan milo panas ketika sahur.
-
Susu dan yogurt
Warga emas sering mengalami masalah tulang. Jadi mereka amat memerlukan nutrien kalsium untuk menguatkan tulang dan gigi. Seperti telur, susu juga digelar sebagai protein penuh kerana ia mengandungi kesemua sembilan asid amino.
Selain daripada membuatkan badan lebih bertenaga, sumber minuman ini juga dapat menghindarkan dehidrasi. Yogurt pula mempunyai probiotik iaitu bakteria baik yang dapat melawan bakteria jahat dalam usus, seterusnya melancarkan proses pencernaan. Sebab itu gabungan susu dan yogurt sangat sesuai diambil ketika bersahur.
-
Pasta
Mahu ubah selera apa kata masakkan pasta untuk ibu bapa. Pasta mempunyai kandungan kalori yang cukup tinggi. Pengambilan 100g pasta kering mengandungi 370 kalori yang lebih rendah daripada biskut dan ia juga mengandungi protein serta lemak. Ini membuatkan pengambilan pasta amat sesuai ketika sahur. Malah, pasta juga mengandungi karbohidrat yang dapat membekalkan tenaga sepanjang hari. Untuk pesakit diabetes juga pasta sangat sesuai kerana pesakit tidak akan mengalami peningkatan gula dalam darah yang ketara.
-
Nasi
Nasi memang makanan utama ketika berbuka dan bersahur. Namun hakikatnya ia adalah makanan keempat yang membantu untuk kenyang lebih lama walaupun anda mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana nasi hanya mempunyai kandungan 129 kalori sahaja bagi setiap 100g nasi. Malah, protein dan lemaknya juga sedikit.
-
telur
Telur juga makanan mengenyangkan untuk bersahur. Ini kerana ia mengandungi protein paling lengkap iaitu kira-kira 97 peratus daripadanya boleh diserap oleh badan. Telur juga mengandungi kolina yang membantu metabolisme dan pusat sistem saraf berfungsi. Boleh diambil secara merebus dan digoreng.
Ramadan sangat mencabar fizikal dan mental, terutamanya golongan warga emas. Walaupun berpuasa sudah dipraktikkan setiap tahun, menempuhi hampir 12 jam tanpa sebarang makanan dan minuman namun puasa boleh menyebabkan seseorang menjadi lesu sepanjang hari.
Salah satu cara utama untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memberi penekanan kepada waktu sahur.
-
Buah-buahan
Kandungan air berserta vitamin dan mineral juga boleh didapati dalam pelbagai jenis buah-buahan. Sebagai contoh, serat yang tinggi dalam epal dan mangga berfungsi sama seperti kurma untuk membuatkan kenyang lebih lama.
Potasium dalam pisang penting untuk pengawalan darah tinggi dengan cara mengurangkan kadar natrium dalam badan yang boleh membawa kepada tekanan darah. Antioksidan seperti Vitamin A, C dan E dalam betik juga terbukti membantu mengelak kolesterol tinggi manakala, tembikai memainkan peranan penting dalam mengekalkan hidrasi.
Anda boleh menjadi kreatif dalam penyediaan buah-buahan; sama ada sebagai pencuci mulut atau snek ringan, dijadikan jus tanpa gula terutama untuk warga tua yang mengalami kesukaran mengunyah, mahupun sebagai sampingan dalam sajian lain seperti mil oat dan sandwic.
-
Sayur-sayuran termasuk kentang dan kekacang
Di mana ada buah-buahan, di situlah ada sayur-sayuran. Seperti buah, sayur termasuk kentang dan kekacang adalah makanan ‘super’ yang kaya mineral termasuk antioksidan, serat, protein, magnesium, kalsium, asid folik dan vitamin. Kesemuanya penting untuk mengekalkan kesihatan diri warga emas.
Menurut kajian, pengambilan sayur berdaun contohnya sawi, bayam, dan kangkung terbukti melambatkan kemerosotan fungsi kognitif disebabkan peningkatan usia seperti dementia. Di samping itu, brokoli juga penting untuk kesihatan jantung dan mengurangkan keradangan.
Selain sayuran hijau, lobak juga boleh memperbaiki kesihatan mata, mengurangkan risiko kanser, serta meningkatkan sistem imuniti. Disebabkan sesetengah sayuran mempunyai tekstur yang keras, maka digalakkan untuk mengukus dahulu atau dicampurkan dalam sup supaya menjadi lembut dan mudah dikunyah.
-
Barli
Bijirin kaya serat ini patut menjadi stok makanan di rumah disebabkan kebolehan beta glucan untuk membantu dan menahan kelaparan. Bukan sahaja itu, barli juga mencegah masalah sembelit akibat kekurangan air daripada berpuasa pada siang hari.
Anda sememangnya boleh menggunakan barli dalam apa sahaja hidangan; dalam sup atau stu, sebagai kepingan barli dalam bubur, sebagai tambahan dalam salad, mahupun sebagai gantian oat.
Alternatif lain iaitu minuman barli suam tanpa gula yang menyelerakan kerana bukan sahaja anda boleh menghirup airnya, bahkan bijirin barlinya juga boleh dikunyah. Pastinya, sajian 2 dalam 1 ini menjadi pilihan buat penjaga ketika sesi persiapan sahur.