
Mencari Bahagia Di Usia Senja
November 27, 2025
Jaga Ibu Sendiri Perlu Ikhlas & Hargai Diri
November 28, 2025Kebelakangan ini semakin banyak kes tragis membabitkan warga emas dibunuh ahli keluarga, anak, cucu dan menantu. Ini bukan hanya isu jenayah, tetapi cerminan kegagalan mengurus emosi, tekanan dan empati dalam keluarga.
Dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan, nilai kasih sayang yang dahulunya menjadi nadi masyarakat kini kian luntur dan semakin pudar.
Masyarakat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, tuntutan kerja dan tekanan sosial yang semakin menghimpit sehingga rasa empati, hormat dan kasih sesama manusia semakin hilang.
Pernahkah kita perasan, di tengah kesibukan mengejar kehidupan, kita terlupa menyapa ibu yang duduk di sudut rumah menanti senyuman anak? Kita lebih mudah mengangkat suara daripada menghulur tangan. Tekanan hidup seolah-olah menjadi alasan menghalalkan kekasaran, keegoan, dan ketidaksabaran. Akhirnya, hubungan manusia menjadi dingin dan nilai kemanusiaan makin terhakis.
Kasih sayang bukan sekadar emosi, ia adalah satu tindakan, mendengar tanpa menghakimi, memeluk tanpa sebab, menghormati tanpa syarat. Anak-anak perlu diajar menyayangi bukan hanya dalam teori, tetapi dalam laku perbuatan harian.
Remaja harus dibimbing bahawa kejayaan bukan hanya dinilai dari gaji, tetapi juga pada cara kita melayan ibu ayah dan jiran tetangga. Masyarakat pula perlu bangkit memperjuangkan semula empati dan saling menghormati sebagai budaya bersama.
Kita perlu kembali kepada asas menyemai semula nilai kasih sayang dan hormat dalam rumah, sekolah dan masyarakat. Setiap senyuman kecil, setiap pelukan, setiap kesabaran, adalah langkah menyembuhkan luka kemanusiaan yang makin dalam.
Kerana dalam dunia yang semakin keras, kasih sayang adalah satu-satunya kekuatan yang melembutkan hati, dan menyatukan kembali jiwa yang tercalar oleh tekanan hidup. Jangan tunggu esok untuk mencintai, kerana hari ini mungkin sudah terlalu lewat untuk menyesal.
Langkah Mengurus Emosi & Kawal Kemarahan
Berita pembunuhan yang sering terpapar di dada akhbar amat menyedihkan. Lebih menyayat hati apabila dilakukan ahli keluarga sendiri. Justeru bagaimana mengurus kemarahan dan emosi diri?
Sebenarnya setiap individu harus tahu tahap kemarahan dan bagaimana kemarahan ini boleh diurus. Antaranya dengan:
-
Kenali tanda marah
Nafas terlalu laju, jantung berdegup kuat, suara meninggi, menggigil, ini petanda anda perlu bertenang sebelum bertindak.
-
Ambil masa
Tinggalkan situasi sekiranya ketika itu anda sedang marah atau hampir bergaduh.Tarik nafas dalam-dalam, istighfar atau berwuduk. Jangan bertindak ketika emosi memuncak.
-
Latih empati
Cuba letakkan diri dalam kasut warga emas itu. Mereka mungkin nyanyuk, uzur atau tidak sengaja. Rasa belas kasihan perlu dilatih. Jangan cuba melakukan sebarang tindakan yang salah atau menyalahi undang-undang.
-
Dapatkan bantuan
Jika anda sebagai penjaga kepada warga emas terlalu tertekan, minta pertolongan ahli keluarga lain. Jangan pendam seorang diri.Ini kerana ia boleh mengakibatkan tindakan anda menjadi lebih buruk.
-
Berkomunikasi dengan sihat
Belajar bercakap dengan nada tenang, pilih waktu sesuai. Luah perasaan marah secara konstruktif, bukan dengan kekerasan.
-
Amalkan solat dan zikir
Sebagai orang Islam jangan bertindak mengikut perasaan. Amalkan solat dan zikir. Rutin spiritual membantu untuk menstabilkan emosi. Doa agar diberi kesabaran dalam menjaga ibu bapa adalah kekuatan utama penjaga.
Langkah Menjaga Keselamatan Warga Emas di Rumah
-
Pendidikan emosi untuk penjaga
Adakan sesi bimbingan psikologi atau kaunseling untuk penjaga agar mereka tahu cara mengurus tekanan dan amarah.
-
Sokongan komuniti & keluarga
Ahli keluarga lain perlu bergilir menjaga atau sekurang-kurangnya membantu dari segi kewangan dan moral. Jangan biar hanya seorang sahaja ahli keluarga yang menjaga sebaliknya dapatkan bantuan dari ahli keluarga lain.
-
Pemasangan kamera keselamatan
Pantau interaksi warga emas dengan penjaga. Jika mampu pasang kamera keselamatan di rumah. Ini bukan untuk menuduh, tetapi sebagai pencegah salah laku sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
-
Lawatan berkala Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO
Pegawai kesihatan atau kebajikan boleh buat pemeriksaan rumah berkala, khusus bagi warga emas yang tinggal bersama penjaga muda.
-
Pusat sokongan warga emas
Sediakan pusat harian atau pusat rehat sementara agar penjaga boleh berehat sebentar merehatkan badan dan minda sementara mereka menjaga warga emas semula. Hal ini sangat penting kerana sekiranya emosi terganggu ia akan menyebabkan penjaga mula tertekan dan boleh melakukan perkara yang tidak diingini.
Warga emas tidak seharusnya menjadi mangsa kemurungan atau tekanan ahli keluarga sendiri. Mereka pernah menjaga kita tanpa jemu, kini giliran kita membalas dengan hormat dan sabar. Lindungi mereka bukan sekadar dari penyakit, tetapi juga dari bahaya dalam rumah sendiri.




