Sakit Kepala Ketika Puasa. Apa Penyebabnya?
March 27, 2023Kenapa Makan Malam Penting Untuk Warga Emas
May 29, 2023Atasi masalah emosi dan kesihatan mental adalah penting bagi setiap individu. Ada beberapa tips yang anda boleh praktiskan. Berikut adalah antara cara untuk anda mengatasinya.
10 Cara Atasi Masalah Emosi & Kesihatan Mental
-
Fikir mengenai diri.
Ambil masa untuk memikirkan mengenai diri sendiri. Ia jauh lebih penting. Ini kerana jika anda sakit siapa yang akan menjaga anak-anak dan keluarga. Bagaimana sumber kewangan. Jadi cuba untuk memikirkan diri sendiri terlebih dulu sebelum anda mengutamakan orang lain.
Anda harus jadi lebih positif dan yakin bahawa anda adalah seorang wanita atau ibu yang hebat dalam apa yang anda lakukan.
-
Lepaskan kebimbangan anda
Adakala wanita berasa diri mereka sangat kuat. Sebab itu mereka melakukan sesuatu perkara tanpa menilai sama ada fizikal dan mental mampu menghadapinya. Apatah lagi jika mereka memiliki anak-anak yang masih kecil segala yang dilakukan adalah untuk anak-anak tanpa melihat yang mereka perlukan sokongan.
Oleh itu bermula hari ini kenal pasti kelemahan, mengakuinya dan melepaskan tekanan atau kebimbangan anda. Lepaskan dan mulai terima tidak semua bebanan atau masalah perlu anda selesaikan berseorangan. Mula minta bantuan pasangan, adik-beradik, keluarga dan sahabat.
-
Luangkan masa untuk membelai diri
Ramai wanita mula mengurangkan masa ke pusat kecantikan, pusat kecergasan dan spa disebabkan tiada masa dan juga bebanan kewangan. Betul untuk cantik memerlukan duit begitu juga jika ingin sihat dan cergas. Tetapi anda harus ingat tubuh juga perlukan belaian dan urutan.
Jika ketika zaman anak dara anda sering melakukan rawatan wajah dan berurut kenapa selepas berkahwin tidak menyimpan duit untuk kecantikan. Sedangkan tubuh anda adalah anugerah Allah yang harus dijaga. Jika tidak mampu sekalipun minta suami untuk membenarkan anda beriadah, bersukan atau bertemu rakan di luar.
Ini kerana aktiviti di luar waktu bekerja tanpa ditemani suami dan anak-anak dapat membuatkan emosi lebih stabil lantas memberikan rasa bahagia.
-
Makan makanan seimbang
Makan makanan seimbang mengikut piramid makanan. Lebihkan sayur-sayuran dan kurangkan karbohidrat dan juga makanan terproses atau segera dalam diet anda. Ini dapat membantu membetulkan semula hormon disebabkan haid dan menopaus. Pastikan buah-buahan dalam setiap hidangan.
Ambil juga makanan tambahan seperti Vitamin C untuk kekal sihat dan mengelak jangkitan penyakit.
-
Minum air secukupnya
Realitinya wanita apabila sibuk bekerja air pun susah untuk diminum. Sebenarnya dalam keadaan cuaca yang sangat panas ini minum air bukan setakat menghilangkan dahaga tetapi membantu mengurangkan tekanan fikiran, mengurangkan toksik di dalam badan dan melancarkan peredaran darah.
Sebaiknya pengambilan air mengikut berat badan anda atau minum sekurang-kurangnya 1 liter sehari dan lebih sekiranya sering berada di luar rumah.
Untuk memastikan anda minum banyak air bawa air kosong ke mana-mana sahaja masukkan dalam beg tangan supaya anda kekal minum air walau di mana berada.
-
Meditasi
Meditasi mengikut cara yang betul tanpa membabitkan keagamaan memberi kesan positif dalam kehidupan seharian. Ini kerana ia membantu mengurangkan tekanan, menguruskan emosi dengan baik, meringankan gangguan mental dan membantu memberikan lebih fokus kepada anak-anak.
Buat meditasi bersama rakan dalam kumpulan kecil atau anda boleh lakukan sendiri di rumah.
-
Bersenam atau beriadah
Selain meditasi wanita sangat disarankan bersenam. Ini kerana senaman boleh mencegah dari pelbagai penyakit dan dapat mengurangkan berat badan berlebihan. Pergerakan senaman dapat menghasilkan hormon endorfin yang boleh meningkatkan keyakinan terutama apabila anda terpaksa berhadapan dengan ramai orang di tempat kerja.
Ia juga mempengaruhi keputusan yang perlu anda lakukan setiap hari. Senaman dapat mengimbangkan reaksi kimia di dalam otak sekaligus memberikan rasa releks dan tenang.
-
Pilih satu hobi
Antara hobi yang boleh anda cuba adalah menjahit, membuat kraftangan, membaca, penulisan jurnal, melukis, fotografi, memasak dan menari. Tahukah anda banyak faedah dari sudut emosi sekiranya wanita mempunyai hobi.
Antaranya meredakan stres, rasa tenang, kurang marah, sabar dan lebih menghormati orang lain. Jadi cuba cari hobi mudah dan tidak membebankan.
-
Luangkan masa sendiri (me time)
Usahakan pergi bercuti atau keluar bersama teman-teman atau bersendirian. Tidak salah sekiranya anda memilih untuk bersendirian untuk beberapa jam untuk lari dari rutin kebiasaan.
Anda boleh meminta sokongan dari ahli keluarga, suami, atau mencuba khidmat pengasuh atau ‘baby-sitter’ yang bertauliah untuk menjaga anak-anak anda untuk beberapa jam. Tahukah anda walaupun hanya satu jam masa anda bersendirian ia dapat membantu mengurangkan tekanan dan menjadikan emosi lebih stabil.
-
Tidur secukupnya
Memang sukar bagi kita untuk mendapat tidur yang secukupnya terutama jika mmepunyai anak yang masih kecil dan tangunggjawab yang tidak pernah putus di rumah mahupun di tempat kerja. Minta sokongan dan bantuan keluarga atau rakan sementara anda tidur selama 1-2 jam.
Ia tidak salah dan jangan rasa bersalah kerana tidur yang cukup dapat membantu anda terus fokus dalam menangani masalah atau kerumitan fikiran yang anda sedang lalui.
Kesimpulan
Kesimpulannya memang benar kita tidak dapat lari daripada kesibukan bekerja di pejabat dan di rumah. Apatah lagi dunia sekarang semakin menekan dengan barang yang semakin mahal, gaji yang rendah, pekerjaan yang semakin kurang.
Namun dalam kesibukan kita mencari rezeki untuk kehidupan yang selesa untuk anak-anak, janganlah kita lupa untuk menghargai diri sendiri dengan sebaiknya. Apabila anda mula mengutamakan diri sendiri ia membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan. Lantas mencipta kebahagiaan bersama keluarga.