Nak Bersara Atau Nak Jaga Cucu?
October 2, 2022Awas 3 Penyakit Mata Yang Perlu Anda Tahu
December 21, 2022Cuba Amalkan 10 Makanan Ini Untuk Sakit Lutut
“Ya Allah sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Sakit lutut susahnya nak berjalan, apatah lagi bersolat. Terpaksa bersolat menggunakan kerusi. Berjalan jauh terpaksa menggunakan tongkat. Barulah terasa betapa nikmatnya rezeki kesihatan kaki yang orang selalu abaikan.
Apabila datangnya sakit lutut pada usia 60 sebegini sedangkan pada usia beginilah kita perlu memperbanyakkan amal ibadah terasa satu kerugian”- Puan Nizah.
Pernahkan anda mengalami sakit lutut sehingga sukar berjalan? Seksanya hanya Tuhan yang tahu apatah lagi ia mengganggu rutin solat sehingga terpaksa bersolat di atas kerusi. Jika dulu sakit lutut dikaitkan dengan usia tetapi sekarang tidak lagi, mereka yang berusia awal 40 tahun juga tidak terkecuali merasainya.
Selain sukar berjalan, sakit lutut akan membataskan pergerakan solat. Mungkin terpaksa solat duduk atau menggunakan kerusi apabila kaki sukar digerakkan dan dilipat. Malah ia juga mengganggu aktiviti ketika melakukan kerja harian atau bercuti bersama pasangan.
Jadi bagaimana menghadapinya?
Biasanya jika anda pergi mendapatkan rawatan di hospital doktor akan memberikan ubat radang sendi untuk menghilangkan rasa sakit pada arthritis. Namun terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menghilangkan sakit lutut. Antaranya:
-
Kurangkan berat badan
Perasan tak sakit lutut dikaitkan dengan mereka yang obesiti. Jadi perkara pertama yang harus dilakukan adalah mengurangkan berat badan. Ini kerana berat badan boleh memberi kesan besar kepada gejala sakit lutut. Berat tambahan akan memberi tekanan lebih pada sendi. Ini kerana berat badan akan diseimbangkan oleh sendi-sendi untuk anda berjalan lama dan melakukan pergerakan yang lain. Penurunan berat badan dapat mengurangkan tekanan pada sendi sekaligus dapat meningkatkan mobiliti (pergerakan fizikal), mengurangkan kesakitan dan mencegah kerosakan sendi pada masa hadapan.
-
Senaman
Bagi penghidap artritis, senaman membantu mengurangkan berat badan kepada berat yang ideal mengikut BMI yang normal. Selain itu ia juga dapat menjaga kelenturan sendi dan menguatkan otot di sekitar sendi yang memberikan lebih banyak sokongan seperti melakukan pergerakan seperti duduk kepada bangun, berdiri lama dan duduk antara dua sujud di dalam solat.
-
Gunakan minyak panas dan sejuk
Rawatan menggunakan minyak panas dan sejuk membantu melegakan kesakitan dan keradangan artritis. Panas di sini merangkumi mandi air panas yang lama pada pagi hari untuk mengurangkan kekejangan otot dan menggunakan selimut elektrik atau pad pemanasan lembap untuk mengurangkan rasa tidak selesa semalaman.
Rawatan sejuk membantu melegakan sakit sendi, bengkak, dan radang. Balut pek ais gel atau beg plastik yang berisi ais setelah diletakkan di dalam peti semalaman dalam tuala dan tuamkan pada sendi yang sakit untuk melegakan dengan cepat. Jangan sekali-kali menggunakan ais terus ke kulit kerana mungkin kulit anda sensitif yang boleh menyebabkan kulit kemerahan dan sukar hilang. Biarkan ais selama 20 minit untuk keberkesanan yang efektif.
-
Cuba rawatan akupunktur
Akupunktur adalah rawatan perubatan kuno Cina dengan cara memasukkan jarum halus dan nipis ke titik-titik tertentu di badan anda. Pengamal mengatakan ia berfungsi dengan mengubah semula tenaga dan mengembalikan keseimbangan dalam badan. Akupunktur boleh mengurangkan kesakitan artritis. Pastikan anda mencari ahli akupunktur berlesen dan bertauliah untuk menjalani rawatan ini.
-
Gunakan meditasi untuk mengatasi kesakitan
Teknik meditasi dan relaksasi, senaman pernafasan dapat membantu mengurangkan kesakitan artritis dengan mengurangkan tekanan perasaan dan membolehkan anda mengatasinya dengan lebih baik. Mengurangkan tekanan emosi juga dapat membantu mengurangkan keradangan dan kesakitan.
Anda boleh mencuba tai chi dan yoga. Ini menggabungkan teknik meditasi, relaksasi, dan pernafasan dengan latihan berimpak rendah. Menurut National Institutes of Health (NIH), kajian mendapati berlatih meditasi secara konsisten sangat berguna bagi sesetengah individu. Kegelisahan, tekanan, dan kemurungan membabitkan kesakitan kronik, seperti arthritis dapat dikurangkan dengan melakukan meditasi.
-
Diet yang sihat
Diet kaya dengan buah-buahan segar, sayur-sayuran, dan makanan ‘wholemeal’ membantu meningkatkan sistem imun dan kesihatan keseluruhan. Terdapat beberapa bukti bahawa pilihan diet boleh mempengaruhi sakit lutut.
Makanan berasaskan tumbuhan mengandungi antioksidan, membantu mengurangkan keradangan dengan menghilangkan radikal bebas dari tubuh.
Daging merah, makanan yang diproses, lemak tepu, gula dan garam tambahan sebenarnya memperburukkan lagi keradangan. Ia perlu dielakkan. Makanan ini juga menyumbang kepada keadaan kesihatan yang lain, termasuk kegemukan, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan komplikasi lain, sehingga kemungkinan tidak bermanfaat bagi penderita artritis.
-
Makan kunyit
Kunyit, rempah kuning yang biasa terdapat dalam masakan India, mengandungi bahan kimia yang disebut curcumin. Ia mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang. Penyelidikan menunjukkan bahawa ia dapat membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan artritis.
-
Pertimbangkan makanan tambahan herba
Banyak suplemen herba boleh mengurangkan sakit sendi, walaupun penyelidikan saintifik belum mengesahkan ramuan atau suplemen tertentu dapat merawat radang sendi. Sebilangan ramuan ini termasuklah Boswellia, bromelain dan ginkgo biloba.
Pastikan ramuan dan makanan tambahan ini berkualiti, selamat, tanpa kombinasi kandungan steroid di dalamnya. Pastikan membeli dari sumber yang bereputasi baik dan diluluskan oleh KKM. Sentiasa berbincang dengan doktor sebelum mencuba suplemen baru, kerana boleh menyebabkan kesan sampingan dan interaksi ubat berbahaya.
-
Urutan
Urutan memberikan kesejahteraan keseluruhan. Ia juga membantu mengatasi sakit sendi dan ketidakselesaan. Urutan tidak mungkin menimbulkan risiko dan dapat memberikan manfaat tidak langsung, seperti mengurangkan tekanan perasaan dan memberikan rasa relaksasi. Tanya doktor anda untuk mengesyorkan ahli terapi urut yang berpengalaman dalam merawat orang yang menderita arthritis. Sebagai alternatif, anda boleh meminta ahli fisioterapis untuk mengajar anda mengurut sendiri.
MAKANAN BAIK UNTUK SAKIT LUTUT
-
Minyak Ikan/Asid Lemak Omega-3
Makan makanan ikan laut dalam kerana mengandungi sumber asid lemak Omega-3 yang sangat bagus dan adalah nutrien penting untuk kesihatan. Ia bukan sahaja terbukti dapat mengurangkan keradangan, tetapi ia juga meningkatkan fungsi otak dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes.Omega-3 boleh didapati daripada ikan air sejuk seperti tuna, salmon dan sardin.
-
Kekacang & Bijian
Omega-3 juga boleh didapati dalam pelbagai jenis kekacang dan bijian. Pengambilan sedikit makanan ini dalam diet seharian seperti kacang walnut, badam, bijian seperti chia seeds boleh mengurangkan keradangan pada sendi dan tisu penghubung.
-
Sayuran Brassica
Apa itu sayur-sayuran brassica? Sayuran jenis ini biasanya dikaitkan dengan keluarga sawi dan kubis. Sayuran seperti sawi, kangkung, kubis ungu, brokoli, bunga kubis dan kubis brussel adalah contoh sayuran daripada famili brassica ini.
Sayur-sayuran ini diketahui dapat menyekat enzim yang menjadi punca penyebab terjadinya bengkak pada sendi. Tambahan pula, ia kaya dengan serat, vitamin dan nutrien untuk kesihatan tubuh.
-
Buah-buahan
Walaupun buah-buahan ada yang dikatakan tidak bagus kerana mengandungi kandungan gula yang tinggi, tetapi ia juga kaya antioksidan. Sama seperti sayur-sayuran, ada terdapat buah-buahan tertentu yang berkesan mengurangkan keradangan dalam badan.
Salah satu buah yang bagus untuk sakit lutut adalah blueberi. Blueberi kaya dengan antosianin, iaitu salah satu flavonoid yang sangat bagus. Ia membantu dalam menghentikan tindakbalas keradangan dalam badan.
Epal juga salah satu buah anti-radang yang kaya dengan fiber. Ia juga memberi manfaat tambahan kepada kesihatan usus.
Nenas juga bagus untuk sakit lutut kerana kandungan bromelainnya iaitu nutrien yang terbukti dapat mengurangkan sakit sendi yang disebabkan oleh osteoarthritis dan rheumatoid arthritis. Sebahagian besar bromelain terdapat pada batang dan teras nenas.
Tomato juga kaya dengan anti-oksidan seperti lycopene. Tomato yang dimasak mengandungi lebih banyak lycopene berbanding dengan buah yang tidak dimasak. Makan sekali tomato dengan kulitnya untuk mendapatkan manfaat yang terbaik.
-
Minyak Zaitun
Kurangkan pengambilan minyak sayuran, minyak bunga matahari dan minyak kacang kerana bahan-bahan ini boleh menyebabkan keradangan. Sebaiknya, amalkan beberapa sudu minyak zaitun untuk memasak dan membuat hidangan salad. Nak lebih baik lagi? Amalkan pengambilan minyak zaitun extra virgin yang kurang diproses. Ia juga salah satu sumber Omega-3 yang baik untuk tubuh.
-
Kekacang
Kekacang terkenal dengan manfaat kesihatan. Ia adalah sumber protein, serat dan mineral terpenting untuk tubuh selain mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang. Kacang hitam, lentil, kacang buncis dan kacang soya adalah sumber antosianin yang bagus untuk mengurangkan keradangan.
-
Bawang Putih & sayuran berakar
Bawang putih, bawang merah, halia dan kunyit mempunyai bahan anti-radang. Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa sayur-sayuran dari jenis ini adalah sangat berguna dalam merawat gejala-gejala radang sendi dan masalah berkaitan sakit sendi. Masukkan sekali sayur-sayuran ini dalam masakan kita sebagai penambah rasa. Selain itu, boleh juga mengambil manfaat sayur-sayuran ini dalam bentuk suplemen.
-
Bijirin penuh
Kajian menunjukkan protein yang terkandung dalam bijirin halus seperti roti putih, nasi putih dan pasta boleh mencetuskan keradangan. Walau bagaimanapun, bijirin yang kaya dengan serat membantu menghasilkan asid lemak yang dipercayai dapat mengatasi keradangan. Oleh itu, amalkan pengambilan bijirin penuh.
-
Air rebusan tulang
Bahan seperti glukosamin, chondroitin dan asid amino membantu memelihara kesihatan sendi, manakala kalsium pula sangat penting untuk kepadatan tulang. Air rebusan tulang mengandungi semua bahan-bahan ini. Bahan seperti gelatin yang terhasil daripada tulang yang dimasak adalah menyamai kolagen yang didapati secara semulajadi pada sendi, tendon dan ligamen. Ia dipercayai dapat mengurangkan sakit sendi dan meningkatkan fungsi pada pengidap atritis.
-
Coklat hitam
Coklat mengandungi bahan antiradang iaitu koko. Koko mengandungi bahan antioksidan yang dapat mengatasi kecenderungan genetik terhadap rintangan insulin dan keradangan. Lagi tinggi peratusan koko dalam coklat, lagi tinggi kesan antiradang. Sungguhpun begitu, coklat juga tinggi dengan gula dan lemak. Sebaik-baiknya, pili coklat yang mengandungi sekurang-kurangnya 70 peratus koko.