11 Panduan Menjaga Pesakit Bed Ridden
July 25, 2022Bahaya Insomnia Boleh Ganggu Fungsi Tubuh
September 25, 2022Serangan jantung kini menjadi sesuatu yang biasa berlaku. Jika dulu ia hanya dialami golongan berusia tetapi kini sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Malah ia juga boleh berlaku di mana saja, bahkan ketika sedang berehat atau sedang melakukan aktiviti seseorang boleh mendapat serangan jantung secara tiba-tiba.
Apa yang perlu anda lakukan jika serangan jantung berlaku?
Jika anda pernah menonton drama, pasti anda tahu bagaimanakah reaksi yang ditunjukkan oleh pesakit ketika mengalami serangan jantung? Mitos yang sering diuar-uarkan adalah pesakit akan mati dalam masa 5 hingga 10 minit.
Perkara tersebut tidak benar!
Walaupun serangan jantung digeruni ramai, namun kebiasaannya pesakit masih boleh bertahan untuk satu jangka masa yang lama tanpa rawatan segera. Namun, keadaan ini amat merbahaya kerana ia boleh menyebabkan peningkatan pada jumlah sel jantung yang mati. Perkara ini boleh menyebabkan masalah jantung lemah.
Ia juga sangat merbahaya untuk warga emas kerana kemungkinan mereka tidak tahan dengan serangan sakit dada atau sukar untuk bernafas.
Ini kerana ketika individu mengalami serangan jantung, bekalan darah kepada otot jantung terganggu. Ini disebabkan oleh salur darah yang membawa nutrisi dan oksigen kepada otot jantung tersumbat.
Tanpa oksigen, jantung tidak dapat berfungsi dengan baik dan otot yang terlibat akan mula mengalami proses nekrosis (mati). Oleh sebab itulah mereka yang mengalami serangan jantung akan merasai sakit pada bahagian dada kecuali jika mereka mempunyai kencing manis yang tidak terkawal.
Dalam kalangan pesakit kencing manis tidak terkawal, saraf yang berada pada jantung sudah pun rosak. Ini bermakna, mereka boleh hadir ke hospital dengan simptom kesukaran bernafas tanpa merasai sakit pada bahagian dada.
Dalam konteks rawatan bagi mereka yang mengalami masalah jantung, masa adalah faktor paling utama. Semakin cepat anda dirawat, semakin tinggi peratusan otot jantung dapat diselamatkan.
SIMPTOM SERANGAN JANTUNG
Antara simptom yang sering dikaitkan dengan masalah serangan jantung adalah:
-
Sakit pada bahagian dada
Simptom ini selalu disalah anggap sebagai simptom pedih ulu hati walhal ia adalah tanda awal serangan jantung. Bagi segelintir individu, ia lebih kepada rasa tidak selesa pada bahagian dada dan bukan sakit. Jika ibu ayah ada mengadu mereka sakit pedih ulu hati atau sakit dada segera bawa ibu ayah ke hospital untuk pemeriksaan.
-
Kebas atau sakit pada bahagian bahu kiri, lengan kiri, leher atau dagu
Ia mungkin juga disebabkan kegiatan yang anda lakukan pada waktu siangnya. Tetapi jika sering kebas walaupun tidak melakukan sebarang kerja anda harus berasa pelik dan segera membuat pemeriksaan.
-
Perpeluhan
Berpeluh adalah petanda sakit jantung. Ia boleh jadi pada tangan atau dahi dengan rembesan yang banyak. Adakala sehingga membuatkan baju yang dipakai basah disebabkan peluh.
-
Kesukaran untuk bernafas
Tanda yang paling kerap berlaku adalah sakit dada dan mengalami kesukaran bernafas. Ada juga yang pernah melaluinya memberitahu sakit dada seperti ada benda berat di atas dada.
-
Rasa loya dan muntah
Jangan anggap loya dan muntah disebabkan oleh masalah angin. Memang betul ada segelintir individu mengalami loya dan muntah disebabkan angin. Namun tidak semua berpunca daripadanya. Ia mungkin disebabkan jantung.
-
Pening kepala
Salah satu petanda sakit jantung adalah pening kepala yang berpanjangan dan keterlaluan. Jangan abaikan simptom ini jika anda melaluinya.
-
Rasa berdebar-debar
Jantung sering berdegup dan rasa berdebar-debar. Jika ada berpanjangan segera membuat pemeriksaan.
Mungkin ramai beranggapan agak mudah untuk mengenali simptom serangan jantung. Namun, ada dalam kalangan individu (terutamanya wanita) yang simptomnya seakan-akan bukan serangan jantung seperti:
- Kelesuan
- Sukar tidur pada waktu malam
- Resah
Oleh sebab masa adalah penentu kepada tahap klinikal individu semasa mengalami serangan jantung, tindakan yang paling wajar dilakukan adalah membawa mereka yang mengalaminya ke hospital dengan kadar segera.
LANGKAH UTAMA JIKA BERLAKU SERANGAN JANTUNG
Oleh itu, kita seharusnya lebih peka dengan simptom masalah jantung. Jika anda atau terdapat orang awam yang mengalami serangan jantung, ambil langkah berikut:
- Dapatkan bantuan kesihatan atau hantar individu yang mengalami sakit jantung ke hospital berdekatan
- Jika tidak berkemampuan untuk bergerak kerana sakit atau keadaan lain, hubungi talian 999 atau minta orang awam untuk bawakan anda ke hospital berdekatan dengan kadar segera
- Jangan memandu kereta semasa mengalami simptom sakit dada atau simptom masalah jantung yang lain
- Jika anda tiada sejarah alergi kepada ubat aspirin, ambil pil aspirin 300 mg yang boleh dikunyah dengan kadar segera
- Sebelum ambulans sampai, ikut langkah-langkah bantuan kecemasan yang diberikan melalui talian 999 jika perlu (contoh semasa situasi pesakit pengsan)
- Jika pesakit mempunyai ubat glyceryl trinitrate, kemam sebiji di bawah lidah dan dapatkan bantuan perubatan dari hospital berdekatan
- Bantuan awal ini bukan sahaja dapat membantu menjadikan simptom sakit jantung lebih terkawal, bahkan ia juga berupaya untuk meminimumkan kematian sel kardium (jantung) bagi mengekalkan fungsi jantung pada tahap yang optimum.
Serangan jantung bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Ia juga tidak membunuh seseorang individu itu dengan serta-merta seperti yang ditunjukkan dalam siaran teledrama. Mereka yang berupaya untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera boleh meminimumkan jumlah sel kardium yang mati akibat sakit jantung.
Jika anda atau individu terdekat seperti ibu bapa mengalami simptom sakit jantung, dapatkan bantuan kesihatan dengan kadar segera. Jika tidak pasti, bawa juga individu tersebut ke hospital.