Adab Dengan Orang Tua
February 1, 2022Pusat Jagaan Harian & Bulanan Terbaik Untuk Warga Emas
February 18, 2022Menjaga ibu bapa yang sihat dan sudah berusia menjadi situasi biasa terutama bagi anak-anak yang tinggal di bandar. Namun bagaimana sekiranya anda diberikan peluang menjaga ibu bapa yang pelupa?
Sudah tentu ia memerlukan tingkat kesabaran yang tinggi apatah lagi sekiranya tahap pelupa atau dalam istilah sainsnya disebut sebagai Demensia, ataupun Alzheimer berada pada tahap yang teruk sehingga memerlukan penjagaan rapi atau perlu dihantar ke rumah jagaan orang tua.
Saya pernah diberitahu seorang rakan yang menjaga ibunya sendiri di rumah. Dia mengatakan ibunya berulang kali masuk ke tandas kerana ingin mandi. Sedangkan hari masih pagi. Ada pula ibu suka memasukkan baju dan mengeluarkan baju dari beg berulang-kali dengan alasan ingin bercuti bersama arwah suami.
Ya bagi anak atau penjaga yang tidak memahami fisiologi dan biologi penderita Demensia pastinya ia memberikan tekanan.
Sebenarnya banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu dan menyokong ibu bapa yang sudah pelupa ini. Perkara pertama adalah anda perlu memahami keadaan kesihatan mental mereka. Adakah ia tahap ringan, sederhana atau teruk. Di sinilah pentingnya ibu atau bapa dirujuk ke hospital agar penjagaan yang lebih baik dapat diberikan.
Jika teruk anda mungkin memerlukan seseorang membantu anda untuk tugasan menyalin dan membersihkan mereka. Ada juga anak-anak membayar jururawat khas untuk menjaga ibu bapa.
Ada pula berkongsi kewangan dengan adik-beradik yang lain dan menghantar ibu ayah ke pusat penjagaan orang tua untuk Demensia. Ini kerana menjaga ibu bapa bukan tugas seorang anak sahaja ia tanggungjawab bersama.
Selain itu amat penting memastikan emosi dan rohani penjaga dalam keadaan baik. Mereka perlu sihat supaya rutin menjaga ibu bapa dapat diteruskan dan keharmonian kedua-dua pihak dapat dicapai.
Berikut beberapa cara yang disarankan menerusi laman web caregiver.org penjagaan ibu bapa yang berhadapan dengan masalah pelupa atau nyanyuk.
-
Pentingnya tahu cara berinteraksi
Interaksi atau komunikasi adalah sangat penting. Sedangkan kita diminta menunjukkan komunikasi berbeza mengikut peringkat usia inikan pula dengan ibu bapa yang pelupa. Mungkin anda masih terlalu baru, tetapi menerusi pengalaman menjaga kali pertama anda akan mudah memahami bagaimana berinteraksi dalam situasi seterusnya.
Menambah baik kemahiran komunikasi dapat membantu penjaga atau anak mengurangkan tekanan dan membaiki kualiti hubungan dengan insan tersayang. Kemahiran komunikasi yang baik juga dapat meningkatkan kemampuan menangani perangai ‘sukar’ yang mungkin dihadapi ketika menjaga ibu atau bapa nyanyuk.
-
Bahasa tubuh dan percakapan yang positif
Ibu bapa yang pelupa sangat sensitif. Mereka tahu daripada bahasa badan sama ada anda jujur atau ikhlas menjaga mereka. Sebab itu mereka mudah merajuk dan bersikap keanak-anakan.
Sebenarnya sikap dan bahasa tubuh adalah lebih kuat menyatakan sesuatu berbanding kata-kata. Oleh itu sentiasa dalam mood positif apabila berhadapan dengan ibu bapa. Bercakap dengan hormat dan menyenangkan. Guna ekspresi muka, nada suara dan sentuhan fizikal dengan lembut dan baik untuk menyampaikan mesej dan menunjukkan perasaan.
-
Dapatkan perhatian mereka
Untuk mendapatkan perhatian, pastikan komunikasi anda dalam keadaan tenang. Kurangkan gangguan dan kebisingan misalnya dengan memadamkan suis radio dan TV, tutup langsir atau pintu, atau bawa mereka ke persekitaran lebih senyap. Gunakan panggilan dengan betul. Sebut nama mereka atau nama panggilan seperti nenek jah, opah, mama atau ibu. Pastikan anda memperkenalkan diri anda dan nama panggilan anda. Guna isyarat bukan verbal dan sentuhan untuk kekalkan fokus mereka. Jika mereka duduk, turunkan badan setara dengannya dan kekalkan hubungan mata
-
Gunakan ayat yang mudah
Oleh kerana ibu bapa ini sangat sensitif jadi anda perlu peka. Bercakap perlahan dan jelas, elakkan meninggi atau menguatkan suara. Jika mereka tidak faham pertama kali, guna ayat yang sama untuk mengulangi mesej atau soalan. Jika masih tidak faham, ambil masa beberapa minit untuk membina struktur ayat. Gunakan nama orang dan tempat berbanding kata ganti nama. Elakkan pertanyaan yang memerlukan jawapan panjang atau beri terlalu banyak pilihan.
-
Bersabar
Jika pertanyaan anda tidak dijawab bersabar menunggu jawapan. Jika mereka agar sukar beri jawapan, cadangkan mereka perkataan. Lihat isyarat bukan verbal dan bahasa tubuh dan beri maklum balas sebaiknya. Elakkan bertanya soalan yang memerlukan memori jangka pendek seperti bertanya apa yang dimakan ketika makan tengah hari sebaliknya cuba tanya soalan umum mengenai kisah silam mereka. Maklumat ini biasanya masih kekal dalam ingatan.
-
Bijak memujuk
Salah satu kemahiran yang perlu ada bagi penjaga adalah bijak memujuk. Sama seperti ibu yang memujuk anaknya untuk makan sayur atau mandi. Begitulah juga sekiranya ibu anda tidak mahu makan, mandi atau melakukan perkara asas yang lain. Cuba pujuk menggunakan kata-kata yang lembut. Jangan sesekali meninggikan suara. Namun sekiranya ibu atau bapa bertindak agresif anda harus cuba menenangkan mereka. Jika tidak berjaya cuba dapatkan bantuan daripada penjaga yang lain.
-
Kemahiran berbuat jenaka
Jangan terlalu serius sebaliknya anda perlu bijak mewujudkan ruang menggembirakan. Gunakan jenaka apabila perlu, penghidap nyanyuk cenderung mengekalkan kemahiran sosial mereka dan biasanya merasa senang untuk ketawa bersama anda.
-
Peluk dan puji
Pesakit nyanyuk sering berasa keliru, resah dan tidak pasti dengan diri sendiri. Mereka juga sering keliru antara realiti dengan perkara yang tidak berlaku. Jadi, di sinilah anda perlu memberi keyakinan kepada mereka. Elakkan daripada mengatakan mereka salah, sebaliknya beri sokongan dan keyakinan. Kadang kala dengan memegang tangannya, memeluknya dan memujinya akan merangsang ibu atau bapa membalas percakapan anda.
-
Layan seperti anak-anak
Ada sesetengah penghidap Demensia bersiap seperti kanak-kanak. Layankan sahaja. Ajak mereka bermain anak patung, melukis atau mewarna sekiranya mereka dalam situasi anak-anak. Jika selepas itu mereka berada dalam mood normal anda perlu berada dalam situasi mereka dan bercakap secara normal. Ini kerana mereka akan marah atau boleh bertindak agresif sekiranya kemahuan mereka tidak dilayan.
-
Niat kerana Allah
Anda mungkin tertekan atau berasa sangat letih melayan kerenah ibu bapa yang nyanyuk. Ingatlah besarnya pahala dan ganjaran yang Allah berikan. Terus lakukan amalan baik ini dengan niat kerana Allah. Pasti jika bukan di dunia ganjaran besar di akhirat yang Allah sudah janjikan. Jangan terus mengalah dan terus menjaga ibu bapa anda dengan ikhlas dan sabar.