12 Aktiviti Semasa Lawatan Ke Rumah Orang Tua
March 29, 2021Hukum Hantar Ibu Bapa Ke Rumah Orang Tua
December 19, 2021“Tak baik betul si Azie tu aku dengar dia hantar mak dia ke rumah orang tua. Kesian maknya ingatkan anaknya yang bergaji besar tu boleh jaga rupanya tidak,” kata mak cik bawang A kepada B yang juga mempunyai ibu di rumah tetapi dibiarkan seorang diri.
Kita memang cepat menjatuh hukum terutama apabila membabitkan ibu bapa. Tambah pula apabila sering dipertontonkan dalam drama mengenai orang tua yang tidak terurus apabila diletakkan di pusat jagaan warga emas.
Mulalah terasa diri berdosa dan bersalah apabila terpaksa menempatkan ibu bapa di rumah orang tua. Label anak derhaka, anak tak guna dan pelbagai lagi kata yang negatif mula diterima.
Realitinya pada tahun 2021 ini menghantar ibu bapa ke rumah orang tua tidak bermakna anda jahat atau lepas tangan. Ia adalah pilihan yang tepat bagi memastikan keselesaan ibu bapa terutama bagi pasangan bekerjaya.
Pedulikan apa orang lain kata kerana anda lebih tahu situasi diri dan ibu bapa anda. Fikirkan semula, anda yang akan melaluinya bukan mereka.
Keliru dan buntu mana satu keputusan yang perlu dibuat? Cuba ambil kertas dan catat kekangan yang menyebabkan anda perlu menghantar ibu bapa ke rumah orang tua:
-
Masa
Menjaga kebajikan ibu bapa ada banyak cara. Kalau sudah terikat dengan tanggungjawab bekerja, macam mana nak 24 jam pantau ibu bapa yang uzur di rumah?
-
Keselamatan
Sudah pasti anda mahukan ibu bapa mendapat penjagaan terbaik. Jika anda dan pasangan bekerja siapa yang akan memantau ibu bapa yang sudah uzur. Jika ditinggalkan bersendirian di rumah, maka ia lebih berbahaya untuk mereka.
-
Kesihatan
Ada sesetengah warga emas yang mungkin sudah uzur dan mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan strok. Oleh itu, pusat jagaan warga emas boleh membantu menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik dan terjamin.
MANA LEBIH BAIK JAGA SENDIRI ATAU HANTAR KE RUMAH ORANG TUA?
Sama ada menjaga sendiri atau menghantar ibu bapa ke rumah orang tua ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan keadaan ibu bapa. Bagi yang berkemampuan mungkin mengambil pembantu dan jururawat peribadi adalah langkah terbaik.
Ini kerana kos perkhidmatan ini jauh lebih mahal berbanding menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas. Apatah lagi, jika anda memerlukan servis ini setiap hari, maka kos pengurusan akan semakin meningkat.
Keadaan ibu bapa juga menentukan sama ada anda perlu menghantar mereka ke rumah orang tua atau sebaliknya.
Sekiranya ibu bapa anda ada masalah kesihatan seperti diabetes, strok atau demensia yang memerlukan penjagaan rapi menghantar ke rumah orang tua adalah jalan terbaik. Bukan bermakna anda ‘membuang’ untuk menjaga mereka tetapi di pusat jagaan kesihatan mereka akan dipantau sepenuhnya.
Misalnya mencuci luka, memberi makan dan memandikan mereka semuanya memerlukan khidmat jururawat terlatih. Begitu juga dengan khidmat psikiatrik bagi yang mengalami kesihatan mental.
Jadi apakah pula kriteria memilih rumah penjagaan warga tua
-
Bayaran dikenakan
Faktor kewangan juga menjadi antara faktor terpenting bagi pemilihan rumah penjagaan orang tua. Bagi pusat jagaan warga emas swasta, kosnya agak tinggi. Namun, jika anda mahu mendapatkan kos penjagaan yang lebih murah, anda boleh memilih rumah penjagaan orang tua milik kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO). Penjaga boleh memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau perbadanan keagamaan sekiranya menghadapi masalah kewangan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan sebut harga untuk maklumat terperinci berkaitan pembayaran yang akan dilakukan.
-
Masa fleksibel
Anda boleh menghantar dan melawat ibu bapa pada bila-bila masa sahaja. Di Malaysia terdapat tiga jenis pusat jagaan iaitu pusat jagaan jangka panjang atau tetap, pusat jagaan masa pendek dan pusat rawatan harian. Di mana sahaja anda menghantar mereka pastikan anda boleh melawat ibu bapa bila-bila masa, boleh ambil setiap hari lepas waktu pejabat, atau tinggalkan ketika anda perlu keluar kawasan atas apa-apa urusan.
-
Tentukan jenis rawatan disediakan
Perkara pertama yang perlu anda tanyakan adakah pusat jagaan menyediakan rawatan yang ibu bapa anda perlukan. Adakah mereka mempunyai staf terlatih yang boleh mengendalikan keadaan orang tua anda. Jika anda sekadar mahu menghantar orang tua untuk sementara waktu disebabkan urusan kerja, maka anda boleh memilih pusat jagaan harian.
Jika orang tua anda tidak mempunyai penyakit atau masalah kronik, maka anda boleh memilih pusat jagaan yang tidak berasaskan kepada perubatan. Bagi warga emas yang memerlukan rawatan khas, maka anda perlu memilih pusat jagaan yang mempunyai perkhidmatan jururawat dan jurupulih terlatih.
-
Fasiliti rumah penjagaan
Salah satu kriteria penting bagi pemilihan rumah jagaan warga emas ialah fasiliti yang dimilikinya. Adakah ia sesak dengan penghuni? Adakah bilangan staf mencukupi? Adakah bilik tidur berada dalam keadaan yang baik? Semua ini perlu diberikan perhatian kerana ia membabitkan keselesaan orang tua anda.
-
Kakitangan atau penjaga
Anda perlu bertanya mengenai bilangan staf yang bertugas dan kelayakan mereka. Seboleh-bolehnya nisbah pesakit kepada staf seharusnya tidak terlalu tinggi kerana ia boleh menjejaskan mutu perkhidmatan mereka. Anda boleh bertanya keluarga pesakit lain untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai pengurusan rumah jagaan terbabit.
-
Penyediaan makanan dan juga ubat-ubatan
Anda boleh bertanya kepada pengurus pusat jagaan mengenai jenis makanan yang disediakan kepada warga emas. Lihat menu harian adakah ia makanan seimbang dan bernutrisi. Adakah sesuai untuk pesakit? Contohnya, makanan mudah kunyah untuk pesakit yang tiada gigi dan makanan cecair contohnya susu untuk mereka yang tidak dapat menelan. Anda juga perlu memberitahu staf mengenai jenis ubat-ubatan yang diperlukan pesakit dan sebarang alahan yang mungkin ada.
-
Lokasi
Lokasi juga memainkan peranan penting. Adakah pusat jagaan terletak di kawasan privasi yang jauh dari kesibukan dan bunyi bising. Adakah dalam kawasan perumahan yang tenang? Ini kerana ibu bapa seharusnya berada dalam keadaan tenang dan jauh dari kebisingan.
KESELESAAN IBU BAPA PALING UTAMA
Selepas meneliti semua perkara di atas barulah anda boleh membuat keputusan sama ada perlu menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau menjaga sendiri di rumah. Perspektif anak derhaka kerana menghantar ibu bapa ke rumah orang tua perlu diubah kerana ia sudah tidak relevan pada masa sekarang.
Untuk itu pilihlah pusat jagaan atau rumah orang tua terbaik yang memberikan keselesaan kepada ibu bapa anda di sana.
Paling penting ikatan kasih sayang tetap terpelihara. Anda tetap menjalankan tanggungajwab sebagai anak manakala ibu bapa gembira melalui kehidupan mereka sehingga akhir usia.