MALAYSIA NEGARA SUPER TUA MENJELANG 2056? APA PERSEDIAAN KITA?
Benarkah Malaysia sudah menjadi negara tua sejak 2020 lagi? Merujuk kepada Bank Dunia pada 2020 peratus warga tua di Malaysia berusia 65 tahun ke atas adalah melebihi 6.8 peratus. Jumlah ini akan meningkat sebanyak 14 peratus pada 2044 dan menjelang 2056 Malaysia akan dihuni hampir 20 peratus populasi warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Data ini sangat benar dan tentunya sebagai persediaan menuju negara tua sepatutnya negara mempersiapkan dengan kemudahan dan mempertingkatkan taraf kesihatan dan sosial. Adakah ia sudah bermula?
Sebelum itu, mari kita soroti perbezaan kemudahan untuk komuniti persaraan dan pusat penjagaan warga emas. Di luar negara komuniti persaraan bermaksud perumahan atau residen yang dibina dengan kemudahan untuk mereka yang sudah bersara dan tinggal berseorangan. Pusat penjagaan warga emas pula bermaksud rumah orang tua yang menyediakan pelbagai kemudahan merangkumi bidang sosial , mental dan fizikal.
Jenis komuniti persaraan sangat popular di luar negara namun tidak diamalkan di Malaysia disebabkan beberapa faktor.
Di Asia kebanyakan generasi membesar di dalam keluarga multi generasi iaitu ada dua generasi tinggal di bawah satu bumbung. Ini menyebabkan komuniti persaraan sukar di terima sekaligus wujud banyak pusat jagaan orang tua atau rumah orang tua bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas yang semakin mendesak.
Di Malaysia ramai warga emas memilih untuk menghabiskan usia mereka di rumah. Jadi konsep penuaan di rumah digunakan dengan dua pendekatan berbeza:
Orang perseorangan atau badan bukan kerajaan yang menjalankan perkhidmatan ini akan membina rumah bagi memenuhi kriteria seperti mewujudkan persekitaran yang selesa dan kemudahan yang mesra warga emas. Contohnya ruang untuk penggunaan kerusi roda bagi warga emas uzur atau untuk orang kelainan upaya atau cacat penglihatan. Perlindungan kebakaran juga adalah perkara yang sangat penting disediakan di rumah orang tua terutama yang tiada mobiliti ketika kecemasan. Ruang istirahat atau taman juga membantu warga emas untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Rumah juga harus berdekatan dengan hospital atau klinik bagi memudahkan sekiranya berlaku kecemasan.
Namun terdapat jurang dalam menyediakan infrastruktur penjagaan orang tua di Malaysia yang biasanya dihadapi oleh pemilik pusat jagaan orang tua. Antaranya:
Namun malangnya pada masa sekarang pemilik rumah orang tua sukar untuk memenuhi kriteria keselamatan atau kualiti minimum disebabkan berhadapan cabaran pelesenan kerana aktiviti komersil tidak dibenarkan di kawasan kediaman.
Memandangkan perniagaan ini memerlukan persetujuan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jadi PBT akan memberi lesen untuk penukaran sementara hartanah kediaman untuk kegunaan komersial dalam tempoh singkat iaitu satu hingga dua tahun tanpa kepastian untuk pembaharuan. Bahagian perlesenan pula mewajibkan pemilik perniagaan untuk mematuhi peraturan keselamatan sebagai contoh menyediakan perlindungan kebakaran, memasang lif atau menguatkuasa protokol kesihatan.
Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Perbandaran berperanan untuk menetapkan kawal selia sewajarnya agar infrastruktur terbaik dapat diberikan kepada warga emas di Malaysia.
Ini boleh dilakukan dengan:
Terdapat keperluan untuk menyemak dan menyelaraskan peraturan garis panduan perancangan sedia ada. Perlu mengemaskini garis panduan kemudahan untuk warga emas yang diterbitkan oleh PLAN Malaysia ( Jabatan Perancangan Bandar dan Desa).
Beberapa garis panduan perlu dikaji semula untuk meningkatkan kebolehubahan pembangunan. Terdapat juga keperluan segera untuk mewartakan peraturan dalam kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta 2018 supaya industri penjagaan warga emas boleh melaksanakan pendekatan sesuai.
Bagi menggalakkan inovasi dan persaingan sektor swasta untuk penginapan mesra warga emas, pemaju perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membangunkan kemudahan penjagaan komersial yang mematuhi peraturan, berlesen dan direka bagi memenuhi keperluan bersama. Contohnya pengendali rumah orang tua boleh berkongsi sumber seperti perlindungan kebakaran, lif atau perkhidmatan dobi.
Ini juga membolehkan perniagaan sinergi seperti klinik, farmasi dan perkhidmatan terapi beroperasi di dalam kemudahan perumahan yang sama serta pembangunan yang lebih mesra warga emas sekaligus menghidupkan semula kejiranan .
Sebagai contoh di Singapura ada perumahan yang dibina dengan cara mengintegrasikan warga emas dengan pelbagai kemudahan penjagaan kesihatan sosial, komunikasi, komersial dan runcit. Mewujudkan hab untuk penjagaan sosial dan aktiviti ekonomi.
Insentif cukai, subsidi, dan insentif bukan kewangan mesti dibangunkan untuk menggalakkan pelaburan penginapan dan penjagaan warga emas. Jika dilakukan dengan betul insentif ini boleh melancarkan permintaan dan menggalakkan perancangan persaraan yang betul sekaligus meningkatkan keperluan warga emas pada usia persaraan mereka.
Sebagai anak sudah tentu kita berhutang budi dengan jasa dan pengorbanan ibu bapa membesarkan kita. Satu cara untuk cuba membayar balik adalah dengan menyediakan kediaman dilengkapi persekitaran yang selesa agar mereka dapat menikmati usia emas dengan gembira dan bahagia.
Bank dunia mengunjurkan Malaysia akan menjadi negara Super Tua menjelang 2056. Justeru kualiti persekitaran harus dirancang dan dibina untuk persediaan warga emas menghadapi hari tua mereka. Namun semua ini bergantung kepada kawal selia politik, kewangan, pilihan yang akan kita lakukan atau putuskan pada hari ini.