Cara Menjaga Ibu Ayah Yang Sedang Sakit
December 31, 2021Adab Dengan Orang Tua
February 1, 2022Tips memahami penjagaan warga emas ini adalah proses penuaan pada manusia sememangnya berbeza mengikut individu. Ia membabitkan perubahan biologi, fisiologi dan psikologi yang dipengaruhi pelbagai faktor seperti genetik dan persekitaran.
Bermula dari tahap bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa sehinggalah ke peringkat tua. Seterusnya proses penuaan ini akan mempengaruhi perubahan fizikal, emosi, kognitif, tingkah laku dan sosial seseorang. Proses ini akan menyebabkan setiap fungsi atau keadaan diri seseorang berubah atau semakin berkurangan
Sebagai contoh, impak penuaan menyebabkan individu akan kehilangan atau tidak dapat mengekalkan keseimbangan badan sehingga kesihatan menjadi merosot. Misalnya mula sakit badan dan lutut, mudah pelupa atau nyanyuk.
Siapa bertanggungjawab menjaga warga emas?
Persoalannya kepada siapakah tanggungjawab menjaga warga emas ini? Ini kerana penjagaan warga emas dianggap sebagai sesuatu yang sangat penting terutama dalam negara sedang menuju negara tua menjelang 2030.
Dengan pelbagai cabaran terutama anak-anak yang masih bekerja serta ragam di pihak warga emas sendiri, menjadikan penjagaan warga emas sebagai sesuatu yang sangat sukar dan mencabar.
Malah pelbagai kisah dipaparkan di media ada dalam kalangan penjaga mengalami tekanan perasaan apabila berhadapan ibu bapa yang berpenyakit dan demensia. Justeru penjaga haruslah memiliki kemahiran agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga emas.
Kemahiran asas penjagaan warga emas menjadi kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti. Ini kerana ia mampu menjadikan penjaga bersedia dengan sebarang kemungkinan atau situasi yang berlaku kepada warga emas yang dijaga mereka.
Selain itu persediaan mental dan fizikal adalah satu keperluan wajib yang amat dititikberatkan bagi mana-mana penjaga warga emas.
Antara kemahiran penting dalam penjagaan warga emas
-
Pengetahuan mengenai masalah kesihatan
Mengetahui serba sedikit mengenai kesihatan adalah sangat penting agar penjaga dapat memberikan respon segera sekiranya berlaku kecemasan ke atas warga emas. Ia merangkumi jenis penyakit, ubat-ubatan, tempat rawatan dan pakar perubatan yang dapat merawat masalah kesihatan mereka.
Sekurang-kurangnya penjaga tahu penyakit yang biasa dialami orang tua. Misalnya darah tinggi, kencing manis, gout atau demensia. Jenis ubat-ubatan yang diperlukan agar dapat memberikan bantuan segera kepada warga emas sekiranya berlaku kecemasan.
-
Pengetahuan mengenai perubahan emosi warga emas
Kesukaran menjaga warga emas disebabkan oleh tidak memahami perubahan diri mereka seperti perubahan kognitif, kecergasan fizikal dan kestabilan emosi. Justeru, penjaga perlu memahami dan belajar mengenai perubahan yang berlaku dan sedang dialami warga emas agar mereka mudah mengendalikannya. Misalnya mengapa mereka mudah berkecil hati, tanda-tanda merajuk dan bagaimana memujuk apabila marah. Dengan memahami diri mereka ia akan memudahkan komunikasi di antara penjaga dan warga emas.
-
Pengetahuan pengurusan secara am
Sebagai penjaga banyak aspek pengurusan yang perlu diberi perhatian antaranya kewangan dan kesihatan warga emas. Semua maklumat ini boleh dipelajari menerusi pengalaman penjaga yang lain, melalui pembacaan atau latihan. Oleh itu, penjaga tidak perlu malu untuk berkongsi pengalaman atau permasalahan mereka dan mendapatkan bantuan dari orang lain.
-
Sabar
Kita sedia maklum tugas menjaga warga emas memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Ia bukan setakat inginkan pendapatan semata-mata sebaliknya disertakan dengan minat, jujur, ikhlas dan sifat bertanggungjawab yang bukan sedikit. Mempunyai sifat-sifat mulia dan terpuji ini dapat membantu penjaga bertenang dalam mengharungi cabaran menjaga warga emas. Keikhlasan dalam memberikan sepenuh perhatian akan memudahkan urusan menjaga warga emas.
-
Kemahiran melayan
Antara sifat yang membezakan seorang individu dengan individu lain adalah kemahiran melayan warga emas dengan sebaiknya. Kemahiran ini termasuk cara bercakap, bahasa tubuh, mimik muka dan sentuhan yang akan membuatkan warga emas rasa selesa dan selamat. Layanan yang baik ini akan memudahkan urusan penjagaan warga emas.
-
Kemahiran berkomunikasi
Sebenarnya setiap warga emas ada kisah mereka sendiri. Cerita zaman kanak-kanak, remaja, tua dan sudah bercucu sememangnya abadi dalam lipatan sejarah mereka. Mereka gembira jika ada yang sudi mendengarnya. Sebab itu warga emas memerlukan teman berbual dan bercerita.
Salah satu kemahiran penting yang sangat diperlukan adalah kemahiran bercerita dan mendengar. Sebagai pendengar yang baik penjaga perlulah memberi tumpuan terhadap perkara yang disampaikan oleh warga emas. Sekiranya warga emas bercerita penjaga perlulah menunjukkan ekspresi muka, nada suara, penggunaan kata dan bahasa badan yang betul supaya wujud interaksi dua hala yang berkesan. Dengan cara ini warga emas akan merasakan kehadiran mereka sangat bermakna.
-
Bersikap empati
Tidak ramai mempunyai sifat empati terutama apabila berhadapan dengan orang tua. Mempunyai rasa empati juga bermakna penjaga perlu peka terhadap sebarang situasi yang dihadapi warga emas dan bertindak mengikut kesesuaian dalam memberikan bantuan dan jagaan. Misalnya jika warga emas berada dalam keadaan kurang sihat penjaga haruslah memberikan bantuan dengan membawa ke klinik atau menunjukkan rasa kasihan. Rasa empati ini akan membuatkan hubungan penjaga dan orang tua menjadi semakin akrab.
Pengabaian warga emas pada zaman sains dan teknologi ini tidak seharusnya berlaku. Ini kerana terdapat banyak rumah penjagaan orang tua di bandar yang menyediakan penjagaan terbaik meliputi faktor fizikal dan emosi. Sebagai anak biarpun tidak dapat menjaga ibu bapa sepenuhnya dengan meletakkan ibu bapa di rumah penjagaan orang tua yang betul adalah satu usaha merapatkan hubungan kasih sayang sekaligus menjadikan mereka sentiasa sihat, ceria dan gembira.